Rabu, 30 September 2015

Nazri akui kesilapan

Beliau akui tidak tahu Menteri Luar telah mengarahkan Timbalan Menteri Luar memanggil Duta China ke Wisma Putra.


nazri-reezal


PETALING JAYA: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengakui kesilapannya apabila mencampuri urusan Kementerian Luar yang melibatkan isu memanggil Duta China ke Wisma Putra.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu bagaimanapun menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk campur tangan dalam urusan kementerian itu.

“Saya tahu telah melakukan kesilapan dalam hal ini kerana tidak jelas dengan arahan Menteri Luar yang sebenarnya telah mengarahkan Timbalannya untuk berbuat demikian.

“Saya tidak mempunyai apa-apa niat lain dalam perkara itu,” Katanya yang dipetik dari Sin Chew Daily.

Mengulas lanjut mengenai tegurannya terhadap Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang didakwanya tidak ikut protokol, Nazri berkata, sejak 16 tahun berada dalam Kabinet, beliau tidak pernah mengetahui bahawa seorang Timbalan Menteri Luar boleh memanggil duta dari negara lain.

Katanya, apa yang diketahui adalah hanya Menteri Luar sahaja yang boleh memanggil duta.

“Biasanya apabila seorang menteri kabinet berada di luar negara, tugas akan dipangku oleh seorang lagi menteri kabinet dan bukan timbalannya.

“Kesimpulannya hanya menteri Kabinet boleh mengambil alih tugas-tugas Menteri Luar.

“Oleh itu, saya fikir Menteri Luar tidak membuat keputusan memanggil duta kerana dia berada di New York pada masa itu. Saya tidak tahu bahawa menteri telah membuat keputusan itu kerana ia bukan satu amalan biasa bagi seorang timbalan menteri untuk memanggil duta.” katanya.

Dalam pada itu Nazri masihatkan Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang supaya tidak bimbang untuk datang ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan kepada kerajaan Malaysia berhubung kenyataannya.

Tiada ulasan: