SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tidak akan tunduk kepada
tuntutan DAP yang mahu badan itu memohon maaf dan menarik balik teks
khutbah Aidiladha yang didakwa sebagai memfitnah parti itu.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menegaskan, kandungan
teks khutbah berkenaan tidak langsung berbaur fitnah, sebaliknya adalah
nasihat kepada umat Islam agar bersatu.
"Kita tak akan minta maaf kerana kita bercakap hal agama. Hal agama ini
(pihak luar) tak boleh campur tangan, apatah lagi dalam khutbah," tegas
beliau.
"Kita tak akan tarik balik khutbah (ini). Kita ada hak untuk
menyatakan tentang kebenaran Islam," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Abdul Rahman membidas DAP kerana memberikan kata dua kepada JAIP tanpa menghayati kandungan khutbah Aidiladha itu.
Malah, tegas beliau, DAP sepatutnya memohon maaf terlebih dahulu kerana
campurtangan dalam hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di
Kelantan.
"Khutbah ini merupakan nasihat, nasihat daripada orang Islam supaya
semua orang Islam bersatu atas nama Islam, bukan bersatu dengan pihak
yang mana mencabar tentang Islam, misalnya hudud. Hudud sebahagian
daripada Islam.
"Sepatutnya mereka (DAP) minta maaf dulu kerana mereka menyentuh
hal-hal agama Islam. Sepatutnya mereka sudah lama minta maaf," katanya.
Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata pihaknya
akan menyaman JAIP jika ia enggan memohon maaf dalam tempoh lima hari di
atas kandungan khutbah Aidiladaha itu.
Menurut teks khutbah Jabatan Mufti Pahang itu, umat Islam di negara ini berpecah kerana ideologi politik berbeza.
"Perpecahan ini ialah kerana orang Islam lebih mengutamakan parti
politik seperti Umno, PAS, PKR dan juga Gerakan Harapan Baru, lebih
daripada Islam.
"Malahan terdapat segelintir umat Islam yang menyertai DAP, yang jelas bertentangan dengan Islam," menurut teks khutbah itu.
Dalam mempertahankan teks khutbah itu, Abdul Rahman membayangkan bahawa
ahli beragama Islam di dalam DAP yang mempertahankan campurtangan parti
itu dalam hal kepentingan Islam boleh dianggap sebagai syirik.
"Bila duduk dalam sebuah parti bukan Islam, mereka akan mempertahankan
apa saja walaupun telah dinasihatkan yang baik. Kita nasihatkan orang
Islam supaya bersatu. Apakah itu salah?," ujarnya.
Ditanya mengenai kemungkinan DAP mengambil tindakan mahkamah terhadap
JAIP, Abdul Rahman berkata pihaknya tidak gusar dengan ugutan Tengku
Zulpuri itu.
"Kita ada satu peraturan (iaitu) apa-apa fatwa yang dikeluarkan mufti
tidak boleh dibawa untuk tindakan undang-undang,” kata beliau.
"Kalau sesuatu perkara itu menepati syarak, tak ada sebab (diambil
tindakan) dan kita bersedia untuk menerima apa-apa tindakan,” tambah
Abdul Rahman.
"Terpulanglah kalau mereka (ahli DAP beragama Islam) nak cuba cabar
agama Islam sendiri, institusi agama Islam sendiri," kata beliau lagi.
1 ulasan:
Catat Ulasan