Ahad, 6 September 2015

Azmin Ali : 'Saya dan Tun Mahathir Bukan Penjenayah' Featured

SELANGOR KINI




AMPANG - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mempertikaikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang akan membuat siasatan ke atas beliau dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kehadiran mereka ke perhimpunan Bersih 4.0, baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun bersedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil nanti, berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Saya dan Dr Mahathir bukan penjenayah. Lebih baik polis tumpu perhatian terhadap isu jenayah yang makin meningkat.

“Setakat ini belum ada (dipanggil). Tetapi kita akan ikut undang-undang. Tidak perlu memberi jawapan pun.

“Saya fikir lebih baik polis tumpu masalah jenayah yang semakin meningkat dan tidak harus polis menekan rakyat dalam keadaan kita melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat patriotik yang mahu negara kita diselamatkan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Khalid mengeluarkan kenyataan akan memanggil beberapa pemimpin parti termasuk Dr Mahathir dan Azmin kerana terlibat dalam perhimpunan haram yang berlangsung di ibu negara pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Manakala Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula hari ini mengingatkan para penganjur dan peserta bersiap sedia untuk dikenakan tindakan dari pihak polis ekoran kedegilan menganjurkan perhimpunan haram tersebut.

Tiada ulasan: