KUALA LUMPUR - Lima sekeluarga memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines Berhad (MAB), DCA dan tiga lagi pihak bagi menuntut ganti rugi berhubung kematian tiga anggota keluarga mereka yang merupakan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lepas.
Keluarga itu menuntut ganti rugi atas kehilangan Tan Ah Meng, 46, dan isterinya Chuang Hsiu Ling@Cindy Chuang, 45, masing-masing merupakan pengarah syarikat kejuruteraan dan pembinaan serta anak sulung pasangan itu, Tan Wei Chew, 19.
Saman itu difailkan dua anak pasangan terbabit iaitu Tan Wei Hong, 15, dan Tan Wei Jie, 13, ibu bapa kepada Ah Meng, Tan Hun Khong, 84, dan Lai Chew Lai, 82, serta ibu Hsiu Ling, Chuang Hung Chien, 75, yang merupakan warga Taiwan.
Mereka memfailkan saman itu menerusi Tetuan Ngeow & Tan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 28 Ogos lalu. Media memperoleh salinan dokumen itu hari ini.
Keluarga itu selaku plaintif menamakan MAB, Ketua Pengarah DCA, Malaysia Airlines System Berhad (MAS), panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan itu, kesemua plaintif mendakwa MAS memungkiri kontrak apabila gagal memastikan pesawat berkenaan berada dalam keadaan baik dan sempurna hingga menyebabkan penumpang dan pesawat MH370 gagal dikesan.
Mereka mendakwa akibat kecuaian defendan, kedua-dua anak pasangan itu menjadi yatim piatu secara tiba-tiba serta kehilangan abang sulung mereka dan kejadian itu menyebabkan mereka mengalami penderitaan dan kehilangan termasuk sokongan kewangan dan kasih sayang.
Selain itu, mereka mendakwa, semasa kehilangan perhubungan, DCA gagal mengambil tindakan sewajarnya dalam masa yang munasabah untuk berhubung semula atau melancarkan pencarian pesawat itu.
Plaintif juga mendakwa, kehilangan pesawat boleh dihindarkan jika panglima TUDM memantau radar dalam masa sebenar dan mengambil segala tindakan ketika kejadian itu berlaku.
Keluarga itu mendakwa kerajaan Malaysia gagal dalam tanggungjawabnya untuk menguruskan kehilangan pesawat itu secara berhati-hati dan telus.
Mereka menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif, ganti rugi am, ganti rugi kehilangan sokongan, ganti rugi teruk dan teladan, kos, faedah serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili kesemua plaintif ketika dihubungi media memberitahu mahkamah menetapkan 5 Oktokber ini untuk pengurusan kes
saman itu di hadapan Timbalan Pendaftar Norfauzani Mohd Nordin.
Pada 29 Januari lepas, Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang mewakili kerajaan Malaysia mengumumkan kehilangan pesawat MH370 diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap terkorban.
Pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.40 tengah malam, 8 Mac 2014 menuju ke Beijing. Sejam kemudian pesawat itu hilang daripada radar.
Pada 29 Julai 2015 satu komponen sayap yang dikenali sebagai 'Flaperon' ditemui di pulau Reunion di Lautan Hindi. Usaha pencarian masih diteruskan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan