Kow Swe Yong
ULASAN Parti
Rakyat Malaysia(PRM) yakin bahawa lebih ramai rakyat Malaysia menolak BN
yang dipimpin Umno, maka parti politik pembangkang harus bersatu untuk
menentang parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Setiap
parti politik mempunyai pendirian dan ideologi berlainan mengenai
beberapa isu yang menjejaskan negara, tetapi PRM percaya bahawa semua
parti politik pasti sanggup berkerjasama dengan niat sama untuk
mengalahkan BN.
Tidak boleh dinafikan bahawa kerajaan BN dahulu
ada melakukan perkara yang baik, tetapi kini parti itu tidak sunyi dari
tuduhan penyalahgunaan kuasa, rasuah, sikap boros dan pelaksanaan polisi
dan dasar yang tidak mengutamakan rakyat.
Parti itu sebaliknya dilihat hanya menjaga kepentingan beberapa orang dan perniagaan korporat dan kroni.
Justeru,
demi kepentingan rakyat dan negara, zaman pemerintahan BN harus
diakhiri secepat mungkin dan digantikan dengan kerajaan alternatif yang
benar – bukan sekadar penukaran orang dan parti yang memerintah.
Inisiatif Pakatan Rakyat melibatkan PAS, DAP dan PKR yang dimulakan pada 2008 kini nampaknya sudah berakhir.
Kegagalan ini berpunca dari beberapa sebab:
1.
Pakatan lemah kerana enggan melibatkan parti politik pembangkang lain
termasuk PRM. Pendirian ini membuntukan perkembangan Pakatan.
2.
Pakatan yang mahu menjadi lebih daripada satu gabungan untuk menghadapi
pilihan raya gagal mendaftarkan diri sebagai satu gabungan parti politik
seperti BN.
3.Pakatan
gagal sampai pendirian dan dasar berkenaan cara pentadbiran dan isu-isu
asas. Perbedaan ini nyata dari cara pentadbiran kerajaan negeri yang
kini diperintah parti PAS-DAP-PKR.
Hala tuju dan dasar setiap
kerajaan negeri tersebut berkenaan nampaknya ditetapkan oleh Menteri
Besar atau parti Menteri Besar berkenaan, dan bukan secara bersama.
Kehilangan Kedah dan kegagalan merampas kembali Perak dalam Pilihanraya Umum (PRU) lepas adalah kesan amalan sebegini.
Keempat,
walaupun Pakatan berjaya membentuk pentadbiran di beberapa negeri, cara
pentadbiran dan dasar nampaknya tidak banyak berubah daripada cara
Umno-BN.
Apa yang berbeza, mungkin kerajaan negeri kini lebih
bersih, cekap dan amanah. Ini tidak memadai, kerana ia perlu melibatkan
perubahan besar dari segi dasar.
Antara lain, perubahan ini perlu
melibatkan promosi dan jaminan hak pekerja, golongan tani, nelayan,
sistem pendidikan, Orang Asli, isu alam sekitar, kesihatan dan kebajikan
rakyat. Parti pembangkang ini perlu membuktikan alternatif yang lebih
baik dan adil.
Rakyat biasa di peringkat akar umbi sehingga kini
tidak dapat melihat apa-apa perbezaan nyata berbanding dengan zaman
Umno-BN yang memerintah negeri yang kini ditadbir parti Pakatan.
Mungkin
pentadbiran di Kelantan di bawah pimpinan allahyarham Tuan Guru Nik
Abdul Aziz Nik Mat dan Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng ada
perbezaan. Ini juga boleh dilihat daripada kekurangan kerusi parlimen
yang dimenangi oleh PAS dan PKR dalam PRU 13.
Kerajaan BN pula perlu menghadapi isu berikut:
1. Skandal wang RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadi perdana menteri
2. Isu berkaitan 1MDB, terutama apabila penyiasatan tidak berjalan dengan lancar
3. Pelaksanaan GST, inflasi dan peningkatan kos sara diri
4. Isu pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MAS)
Harus
juga diingati bahawa perkembangan di negeri yang ditadbir oleh gabungan
kerajaan PAS-DAP-PKR juga akan diambil kira pengundi.
Jika tidak
ada perubahan nyata dilihat, ini boleh juga menjejaskan keputusan akan
datang, lebih-lebih lagi jika Umno menggantikan perdana menteri sebelum
pilihan raya umum akan datang.
Undi yang diperolehi untuk sesuatu
kerusi bukanlah sokongan kepada parti tertentu tetapi adalah sokongan
kepada semua parti pembangkang.
Secara alternative, undi memihak pembangkang adalah sseruan rakyat yang mahukan alternatif kepada BN.
Parti
pembangkang tidak boleh terus kekal di kerusi yang dimenangi oleh
calonnya dalam pilihan raya umum ke-13. Ini adalah sikap mementingkan
diri sendiri.
Bagi PRM, kerusi yang bakal dipertandingkan harus
diagihkan untuk meletakkan calon yang terbaik, yang berprinsip dan
berkebolehan untuk rakyat dan kawasan berkenaan tanpa kira parti.
Meletakkan calon yang salah bakal merugikan rakyat setempat dan rakyat Malaysia.
Kini
terdapat ramai wakil rakyat dan ADUN pembangkang ponteng Parlimen,
tidak berhujah mahupun bertanya soalan. Ada juga yang tidak tampil
menunjukkan sokongan dalam isu rakyat, dan ada yang tidak berkomunikasi
secara terus dengan rakyat.
PRM mahu rakyat diberikan semula hak untuk memilih wakil dalam kerajaan tempatan dan di peringkat kampung.
PRM
mahukan kerajaan alternatif yang bukan bermaksud hanya penukaran orang
yang memerintah tetapi juga perubahan dari segi polisi dan arah tuju
pentadbiran.
PRM berpegang kepada keadilan dan kebajikan rakyat.
Penekanan harus diberikan kepada yang miskin dan terpinggir di mana
programnya bukan sekadar bantuan kewangan seperti BR1M.
Sebaliknya,
program ini sepatutnya membina masyarakat dan rakyat yang dapat
berdikari, dengan pendapatan berkekalan buat sekarang dan untuk hari
tua.
PRM berharap semua parti sedia bekerjasama dan tidak sekadar
menjamin jawatan wakil rakyat untuk parti masing-masing. Strategi satu
lawan satu masih lagi strategi terbaik untuk mengakhiri pemerintahan
Umno-BN.
PRM sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik dan NGO, asalkan bukan Umno-BN, demi masa depan rakyat Malaysia.
KOW SWE YONG setiausaha agung PRM.