MALAYSIAKINI
Kerajaan tidak berhasrat menggubal undang-undang baharu bagi mengekang
perbuatan menghina institusi Raja, persidangan Dewan Negara diberitahu,
hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata ini kerana
undang-undang sedia ada adalah mencukupi untuk melindungi kemuliaan
institusi berkenaan.
"Pada
masa ini undang-undang sedia ada bagi melindungi kemuliaan institusi
Raja, Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong adalah mencukupi.
"Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan istimewa institusi Raja,
Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong, antaranya dalam Perkara 32, Perkara
38 dan Perkara 71," katanya menjawab pertanyaan Senator Datuk Raja
Roopiah Raja Abdullah.
Raja Roopiah ingin tahu apakah tindakan yang diambil terhadap mereka
yang menghina pemimpin dan institusi Raja dan apakah undang-undang yang
ada kini harus diperketat atau perlu digubal satu akta baharu.
Nancy berkata terdapat beberapa undang-undang yang diperuntukkan kepada
sesiapa yang menghina atau mengeluarkan kenyataan menghina institusi
Raja, Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong, antaranya subseksyen 4(1)
Akta Hasutan 1948 (Akta 15).
Selain itu Seksyen 425 Kanun Keseksaan (Akta 547) dan Seksyen 233 Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) juga terpakai bagi perbuatan
menghina pemimpin negara, katanya.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki,
Nancy berkata kerajaan juga tidak bercadang untuk meminda Akta
Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166) bagi membolehkan penubuhan suatu
badan kawal selia lain, selain Majlis Peguam, bagi profesion
undang-undang.
"Pada masa sama juga, sehingga kini masih tiada perancangan untuk meneruskan cadangan penubuhan Akademi Undang-Undang," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan