Khairy Jamaludin Abu Bakar
KUALA LUMPUR - Pihak industri disaran menawarkan gaji setimpal kepada
pelajar lepasan vokasional dan institusi latihan kemahiran, sesuai
dengan kelayakan dan kemahiran yang dimiliki mereka, kata Menteri Belia
dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata, setakat ini gaji yang ditawarkan belum berada pada
tahap yang diharapkan, walaupun kerajaan membelanjakan peruntukan yang
tinggi untuk meningkatkan kualiti pendidikan vokasional dan institusi
latihan kemahiran.
"Beberapa negara yang mempunyai tahap kompetensi teknikal yang tinggi
seperti Jerman, Jepun dan Korea Selatan telah mengangkat martabat
latihan kemahiran sehingga masyarakat di negara tersebut memandang
tinggi kepada bidang itu," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk
'Malaysia's Human Capital Towards High Income Economy' di Universiti
Teknologi Malaysia, di sini, semalam.
Khairy berkata, masyarakat terutamanya ibu bapa juga perlu mengubah
persepsi bahawa pelajar yang melalui pendidikan vokasional tidak
cemerlang dalam bidang akademik dan menganggap latihan kemahiran sebagai
pilihan kedua.
"Kebanyakan ibu bapa mahu anak-anak menjadi doktor, jurutera, peguam
dan sebagainya, tanpa melihat potensi anak-anak mereka dalam bidang
teknikal sedangkan bidang itu adalah sama penting untuk pembangunan
ekonomi negara," katanya.
Tambahnya lagi, lepasan vokasional dan institusi latihan kemahiran juga sebenarnya mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi.
"Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sebagai contoh mempunyai tahap
kebolehpasaran graduan sehingga 83 peratus dan usaha sedang dilakukan
untuk meningkatkan jumlah itu kepada 90 peratus menjelang 2016.
"IKBN turut bekerjasama dengan beberapa syarikat besar seperti
Petronas, Samsung dan Tan Chong Motors dan Institut Automotif Malaysia
untuk memastikan kursus yang disediakan menepati kehendak industri
selain menyediakan peluang latihan industri," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan