Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
SHAH ALAM: DAP boleh menuntut kerusi Timbalan Speaker 2 DUN Selangor,
dengan syarat jawatan itu harus diwujudkan di semua negeri yang ditadbir
Pakatan Rakyat (PR).
Tegas Exco Selangor, Amiruddin Shari, syarat sedemikian perlu dipertimbangkan bagi memastikan keadilan untuk semua pihak.
Bagaimanapun katanya, segala ketetapan berhubung isu itu hanya akan
dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (MPPR) akan
datang.
"Mereka (DAP) boleh desak, tapi ia akan diputuskan di peringkat PR.
"Untuk pelantikan jawatan Timbalan Speaker, jika ia ingin dilakukan, ia perlu menjadi keputusan dasar.
"PR Pusat kena buat ketetapan ini sama ada ia perlu atau tidak. Jika
perlu, ia akan dilakukan di semua negeri PR. (Namun) Sekarang kita masih
menunggu ketetapan itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri
Program Temasya Selangor ke-15 di Shah Alam Convention Centre (SACC)
Mall, petang tadi.
Amiruddin yang memegang portfolio Pembangunan Generasi Muda, Sukan,
Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan berkata demikian ketika diminta
mengulas tuntutan berterusan DAP yang masih mahukan penambahan jawatan
Timbalan Speaker DUN Selangor, meskipun jawatan itu sudahpun diisi ADUN
Bangi daripada PAS, Mohd Shafie Ngah.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa menyampaikan ucapan
merasmikan Konvensyen DAP Kebangsaan Ahad lalu berkata DAP sehingga kini
menunggu ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim dilantik ke jawatan itu.
Ia jelas ditujukan kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang turut hadir ke majlis tersebut.
Bagaimanapun Azmin dikatakan menggeleng kepala yang kemudiannya disambut gelak ketawa para perwakilan yang hadir.
"Masing-masing ada permintaan dan pandangan tersendiri, namun kita akan
buat keputusan, termasuk pelantikan jawatan berdasarkan ketetapan PR,"
ujar Amiruddin yang juga Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Selangor.
Azmin sebelum ini berkata permintaan DAP itu akan dibincangkan menerusi mesyuarat MPPR.
DAP sebelum ini mengejutkan pelbagai pihak apabila tiba-tiba merebut kerusi yang diperuntukkan kepada PAS itu.
Ng dalam reaksinya berkata DAP sengaja berbuat demikian sebagai tanda
protes terhadap kegagalan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
hadir ke mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat, sebelum ini.
Hadi pula memberitahu beliau mengalami masalah kesihatan sejak akhir-akhir ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan