Datuk Akhbar Satar
PETALING JAYA - Parti-parti politik di negara ini dianggap sebagai
institusi yang paling korup, diikuti oleh polis dan penjawat awam.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar
berkata, ini berdasarkan tinjauan Barometer Rasuah Malaysia 2014 yang
dilakukan badan itu ke atas 2,000 responden dari pelbagai lapisan
masyarakat.
"Ramai yang memilih parti politik, menunjukkan mereka tidak percaya
kepada institusi berkenaan. Malah, ini kali pertama parti politik berada
di kedudukan teratas berbanding tahun lalu, (iaitu) di tangga kedua.
"Secara peribadi bagi saya, korup dalam parti politik ini kebiasaannya
melibatkan pemberian kontrak, perniagaan, lesen ali baba dan
seumpamanya. Jadi, sebagai ahli politik, sepatutnya mereka tunjukkan
contoh yang baik,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan
keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014, di sini, semalam.
Mengenai keputusan CPI, beliau juga tidak menolak faktor politik
sebagai penyumbang markah terendah dalam penilaian lapan kriteria yang
dijalankan di bawah CPI.
“Satu daripada kriteria ini melibatkan politik, jadi saya rasa kita
terlalu banyak ‘politiking’. Mungkin itu kemungkinan kita dapat markah
rendah. Jika kita memiliki kestabilan politik, kita akan dapat CPI yang
baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, TI-M turut mencadangkan satu
pembaharuan dilakukan terhadap pembiayaan politik untuk parti-parti
politik supaya lebih telus dan bertanggungjawab dalam menerima dan
menggunakan sumbangan politik.
“Sumbangan politik sepatutnya disalur kepada akaun parti, bukannya
individu. Semua sumbangan mestilah direkodkan dan diaudit bagi
menunjukkan ketelusan.
“Saranan ini bukan saja untuk parti pemerintah, tetapi juga kepada
parti pembangkang yang turut memerintah beberapa negeri. Parti daripada
kedua-dua belah pihak perlu bekerjasama bagi memastikan cadangan ini
dapat dilaksanakan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, secara keseluruhannya kedudukan Malaysia
dalam CPI tahun ini masih berada dalam keadaan memuaskan.
Katanya, Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan CPI ke tangga 50,
berbanding 53 tahun lalu dan turut mencatat peningkatan markah daripada
50 ke 52.
Dalam kalangan negara Asean, Malaysia berada di kedudukan kedua di
belakang Singapura yang menduduki tangga ketujuh keseluruhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan