Oleh Nurshakira Buang
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta
menyatakan pandangannya bersabit kemerosotan ekonomi dunia masa kini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian Najib perlu agar rakyat tidak resah dengan perkembangan ini.
"Di manakah kepimpinan kita? Tidak pernah keluar satu kenyataan pun
daripada perdana menteri merangkap menteri kewangan mengenai keadaan
ekonomi negara dan permasalahan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat dan
bebanan ekonomi lebih besar yang bakal mereka hadapi.
"Rakyat perlukan jawapan. Perdana menteri mesti bertindak segera dan
jangan tangguhkan penjelasan," kata ketua pembangkang itu pada satu
sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Gesaan itu dibuat Anwar ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu
akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia dan ringgit yang semakin
lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (USD).
Malah, menurut Anwar apa yang lebih menakutkan ialah ekonomi dalam
keadaan yang tidak dikemudi dengan baik manakala nakhodanya pula tidak
kelihatan.
Ujar Anwar, tiada sebarang tindakan dilakukan dan sebaliknya pemimpin Umno-Barisan Nasional lebih gemar membuat penafian.
“Dengan keadaan sekarang, ‘sovereign rating’ negara pastinya akan
menghadapi risiko penurunan taraf. Pertumbuhan ekonomi akan terjejas
dengan penguncupan aktiviti ekonomi domestik. Kebanyakan perniagaan
tempatan yang dimiliki bumiputera akan menghadapi cabaran hebat,”
jelasnya.
Tambahnya lagi, Malaysia juga sedang menuju krisis ekonomi akibat
pengurangan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa dan juga
penyusutan nilai ringgit kepada paras yang belum pernah dilihat semenjak
krisis kewangan Asia 1997.
“Penyusutan nilai ringgit berbanding USD kepada hampir 3.5000 (1USD
bersamaan 3.50 MYR), rakyat akan menghadapi masa hadapan yang kelam
akibat kenaikan harga barang makanan, terutama sekali yang diimport. 90
peratus bahan makanan asas kita diimport," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan