Rabu, 10 Disember 2014

MTUC kecewa layanan terhadap pekerja BTV

MALAYSIAKINI


 


Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kecewa dengan layanan Bernama TV (BTV) terhadap pekerja syarikat itu.

BTV semalam mengakui bahawa ia tidak lagi mampu membayar gaji pekerjanya, dan hanya memberi wang pendahuluan RM500 bagi gaji tertunggak masing-masing.

"Majikan harus beri kepentingan kepada gaji, kerana pekerja bergantung kepada gaji yang mereka sepatutnya terima," kata Setiausaha Agung MTUC N Gopal Krishnam.

"(Pekerja) tidak boleh pergi ke kedai runcit dan berkata, majikan saya hanya membayar RM500, oleh kerana itu boleh ke harga barangan yang ingin saya beli diturunkan?"

Beliau juga menolak alasan Bernama bahawa ia tidak sepatutnya bertanggungjawab ke atas gaji pekerja BTV, kerana ia adalah pemegang saham minoriti stesen itu.

"Kami tak kisah siapa pemegan saham, atau siapa yang sepatutnya membayar gaji. Apa yang penting adalah pekerja telah mengeluarkan tenaga, dan majikan harus membayar sewajarnya," kata Gopal.

Bernama memiliki kepentingan 33 peratus dalam BTV, namun bertanggungjawab untuk operasi stesen swasta itu.

Ia juga telah membayar gaji pekerja BTV dengan dananya sendiri.

Bagaimanapun, ketua pegawai eksekutif BTV, Datuk Ibrahim Yahaya dilaporkan berkata bahawa  dana tersebut sudah habis.

Peguambela buruh MTUC, Peter Kandiah berkata beliau sanggup membantu pekerja BTV mendapatkan gaji mereka, dan menggesa mereka untuk menghubungi beliau.

Tiada ulasan: