Menteri Besar Azmin Ali menafikan
dakwaan bahawa kerajaan negeri memberi layanan istimewa kepada Syarikat
Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dalam isu perjanjian
penstrukturan air di negeri itu.
Menurut Azmin, berdasarkan perjanjian asal yang ditandatangan oleh bekas
menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim, Splash mempunyai masa sehingga
September tahun depan untuk memuktamadkan perjanjan air di Selangor.
Malah, katanya, rundingan antara kerajaan negeri dan Splash juga akan bermula pada awal tahun depan.
"Kita telah memuktamadkan perjanjian dengan Puncak Niaga dan SYABAS
bulan lepas dan Splash memang ada dalam perjanjian asal. Dalam
perjanjian induk, Splash diberi tempoh setahun untuk memuktamadkan
perjanjian.
"Kita juga akan mulakan rundingan bersama Splash mungkin pada awal tahun 2015," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Khalid dalam laporan berita portal The Malay Mail Online yang
mendakwa kerajaan negeri memberi layanan istimewa kepada Splash kerana
syarikat itu masih lagi tidak memuktamadkan perjanjian air pada
September lalu.
"Tak ada perbincangan dengan Splash. Saya terfikir bagaimana kami boleh dapat angka RM2.8 bilion.
Tolak tawaran
"Tak benar bahawa ada komitmen daripada kerajaan negeri untuk membayar RN2.8 bilion. Tidak ada perkara itu kerana kita belum mula pun rundingan dengan Splash," katanya lagi.
Semasa pemerintahan Khalid sebelum ini, tiga syarikat konsensi air bersetuju dengan tawaran pengambilalihan bernilai RM9.65 bilion oleh kerajaan Selangor.
Bagaimanapun, Splash menolak tawaran itu.
Ditanya mengenai dakwaan pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin terhadapnya sebelum ini, timbalan presiden PKR itu hanya berkata beliau hanya mahu fokus membuat kerja sebagai menteri besar.
Katanya yang juga MP Gombak, buat masa ini, beliau tidak mahu mempolitikan isu yang melibatkan pentadbirannya.
"Saya nak buat kerja. Saya nak jaga kepentingan kamu, rakyat Selangor, bangunkan negeri Selangor. Tidak payah politik.
"(Sekarang) nak kerja saja. Dan itu merupakan tanggungjawab yang besar. Saya ada dua tahun lagi sebelum pilihan raya akan datang," kata Azmin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan