Jumaat, 12 Disember 2014

'Kos tinggal di apartmen lebih tinggi dengan GST'

MALAYSIAKINI


 


Satu kumpulan pelabur hartanah memberi amaran bahawa kos untuk tinggal di apartmen akan meningkat apabila cukai barangan dan perkhidmatan dilaksanakan tahun depan.

Naib presiden Institut Juruukur Diraja Malaysia, Lau Wai Seang berkata, ia hanya dapat dibendung sekiranya perkhidmatan badan pengurusan bersama (JMB) untuk apartmen berkadar sifar.

Katanya, perkhidmatan JMB dan juga perbadanan pengurusan (MC) diletakkan dalam klasifikasi perniagaan mengikut akta GST.

Sedangkan, badan ini digerakkan oleh para sukarelawan yang juga penduduk apartmen terbabit, katanya. Mereka juga hanya memungut wang daripada penduduk untuk penyelenggaraan hartanah berkenaan, tanpa keuntungan.

“JMB dan MC hanya menjalankan perniagaan seperti yang digariskan oleh Akta Kastam Diraja Malaysia atau Akta GST. Mereka tidak menjalankan perniagaan,” katanya dalam satu sidang media.

Sementara itu, jurucakap ersatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta & Perunding Harta Swasta Malaysia, Wong Kok Soo pula berkata, pelaksanaan itu akan melibatkan hampir kesemua hartanah strata.

Katanya, kesemua pembangunan berkenaan akan tertakluk bawah cukai GST dan perlu mengenakan kadar enam peratus GST untuk bayaran penyelenggaraan dan dana terikat.

Pengecualian hanya dikenakan ke atas pembangunan strata kos rendah dan sederhana, katanya lagi.

Bagaimanapun, JMB dan MC hartanah kos rendah dan sederhana ini juga perlu menaikkan yuran sebanyak enam peratus kerana penyedia perkhidmatan lain seperti syarikat keselamatan akan mengenakan kadar lebih tinggi disebabkan GST.

Katanya lagi, badan pengurusan itu tidak boleh menuntut rebat dengan jabatan kastam seperti hartanah lebih mahal yang tertakluk kepada GST.

Oleh itu, badan pengurusan untuk kesemua hartanah strata perlu menaikkan yuran mereka sebanyak enam peratus, katanya.

Sebaliknya, jika hartanah itu dikenakan cukai berkadar sifat, pihak pengurusan hartanah tersebut tidak perlu lagi mengenakan cukai GST ke atas pemilik rumah, katanya.

Malah, mereka juga masih boleh menuntut semula GST yang dikutip dari perniagaan lain dengan mengisi tuntutan dengan Jabatan Kastam, katanya.

Oleh sebab itulah mereka menggesa agar kesemua pembangunan strata dikategorikan berkadar sifar, katanya.

Tiada ulasan: