Jumaat, 19 Disember 2014

Azmin akan jumpa ADUN Inanam dalam masa terdekat

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic



KUALA SELANGOR: Timbalan Presiden PKR Azmin Ali akan mengadakan perjumpaan bersama ADUN Inanam (PKR), Dr Roland Chia mengenai keputusannya untuk meletakkan jawatan baru-baru ini.

Ujarnya Dr Chia perlu berbincang dengan kepimpinan tertinggi parti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Tidak dia tak letak jawatan (tapi) saya diberitahu keadaan kesihatan dia kurang baik. Walau bagaimanapun saya akan bertemu beliau dalam masa terdekat.

"Tak ada, dia sakit (jadi) kita kena hormatlah. Tapi saya ingat sebarang keputusan diambil elok berbincang," katanya kepada media selepas mengadakan perjumpaan bulanan bersama penjawat awam Majlis Daerah Kuala Selangor.

Kelmarin Dr Chia mengejutkan PKR selepas menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat di laman sosial Facebook dan Twitter.

Katanya peletakan jawatan itu disebabkan oleh masalah kesihatan.

Menurut Azmin lagi, parti juga kurang jelas dengan masalah kesihatan yang dihadapi Dr Chia.

"Nanti dia akan jelaskan, dia tak bagi tahu sakit apa. Dia hanya sebut kurang sihat dan tidak dapat memberikan khidmat maka dia bercadang untuk meletakkan jawatan dan saya berkomunikasi dengan beliau supaya dapat adakan perbincangan dan ia akan berlaku dalam masa terdekat.

Dr Chia, yang merupakan seorang doktor gigi memenangi kerusi Inanam buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei tahun lepas dengan majoriti 3,202 dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau meraih 8,926 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN), Joseph Paulus Lantip dari Parti Bersatu Sabah mendapat 5,724 dan Eric Majimbun mewakili Parti Progresif Sabah menerima 5,003 undi.

Tiada ulasan: