Selasa, 16 Disember 2014

50 peratus ahli Melayu menjelang 2025, bersediakah DAP?

DAP

Oleh LIEW CHIN TONG


Kita mengimbas sejarah untuk bergerak ke depan. 10 tahun lalu, ketika saudara Lim Guan Eng mengambil-alih jawatan Setiausaha Agung, DAP dilihat sebagai “pembangkang tetap” untuk selama-lamanya. Mustahil DAP memerintah di mana-mana peringkat, malah pembentukan satu gandingan politik di kalangan parti pembangkang juga dianggap sesuatu yang mustahil selepas robeknya Barisan Alternatif pada September 2001.

Namun, kita diperlihatkan bagaimana kemustahilan menjadi sesuatu kelumrahan yang baru dalam tempoh sedekad yang lalu. Pembangkang kembali dari neraka dan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional dalam Parlimen di samping memerintah di lima negeri pada tahun 2008, selepas mengalami kekalahan (antara yang paling teruk dalam sejarah) pada tahun 2004. Pada tahun 2013, Pakatan Rakyat hampir menawan Putrajaya – dikalahkan lantaran ketidakadilan sistem pilihan raya.

Tempoh sedekad adalah terlalu panjang dalam politik, tetapi tidak terlalu panjang untuk sejarah sesebuah negara. Sementara kita cuba mengelakkan kesilapan lantaran terlalu optimis atau idealistik terhadap masa depan, kita juga janganlah terlalu konservatif memikirkan potensi masa depan kita, sehingga terlepas untuk menggarap peluang tatkala masyarakat kita sedang mengalami perubahan yang deras.

Tiga soalan yang saya lontarkan kepada rakan seperjuangan dalam DAP pada minggu lalu untuk renungan bersama, agar kita sentiasa jelas dalam visi kita. Bertitik tolak dari situ, kita merancang selangkah demi selangkah menuju 10 tahun akan datang.

Pertama, bersediakah DAP untuk menerima bahawa 50 peratus daripada keahliannya terdiri daripada kaum Melayu pada tahun 2025, dan bekerja ke arah objektif ini?

Dari segi barisan kepimpinan dan wakil rakyat di peringkat nasional, PKR dan DAP boleh memdakwa dirinya sebagai parti politik yang merangkumi semua etnik utama di negara kita. Dari segi geografinya, DAP adalah parti pertama yang mempunyai cawangan di setiap ngeri.

Namun, kita perlu ingat bahawa DAP pernah diasak ke satu pelusuk, di mana parti ini hanya meraih sokongan pengundi berpendidikan bahasa Cina. Malah, DAP kehilangan sokongan kumpulan berpendidikan Cina dalam PRU10 pada tahun 1999. Hanya pada tahun 2007 DAP berjaya meluaskan gelanggangnya melangkaui batas Cina berpendidikan bahasa Cina, untuk meraih sokongan Cina berpendidikan bahasa Inggeris dan kaum India.

Sejak PRU12 pada tahun 2008, kerja keras saudara Lim Kit Siang dan rakan seperjuangan di Sabah dan Sarawak telah menjadikan DAP dilihat muncul sebagai kuasa baru di negeri kononnya “deposit tetap BN”. Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang adalah medan yang penting untuk membuktikan diri kita.

DAP tidak mahu tersepit sebagai parti yang hanya mewakili kumpulan tertentu. Matlamat DAP sejak penubuhannya pada 18 Mac 1966 adalah untuk menjadi parti politik pilihan untuk semua warga Malaysia, yang mahu melihat negara ini memberi peluang dan harapan kepada SEMUA, dan bukan segelintir warga Malaysia.

Cabaran DAP adalah samada kami bersedia untuk menerima seandainya 50 peratus keahlian DAP adalah Melayu. Benteng terakhir politik Malaysia adalah politik perkauman Umno, dengan menjadikan DAP sebagai ‘hantu’ untuk menakutkan Melayu, agar talian hayat Umno dilanjutkan. Seandainya DAP juga menjadi pilihan anak muda Melayu, maka itulah hari kiamat untuk Umno.

Kedua, samada DAPSY bersedia untuk menurunkan had usia pemuda dari 35 tahun, kepada 30 tahun? Saya memuji bekas Ketua DAPSY Anthony Loke memimpin untuk menurunkan had usia pemuda kepada 35 tahun pada tahun 2012. Hakikatnya DAP telah mengambil inisiatif ini lebih awal sebelum Ketua Pemuda Umno merangkap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan penurunan had usia pemuda dari 40 kepada 30 tahun untuk persatuan belia, mulai tahun 2018.

Saya mengalu-alukan langkah Khairy ini, tetapi menyeru agar Khairy memulakannya di sayap Pemuda Umno. Dari ucapan Pemuda Umno dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, jelas pemimpin dan ahli Umno terperanjat dengan DAP dan dikecewakan pemimpin Umno sendiri – kerana DAP memberi ruang untuk pemuda-pemudi!

Apa tidaknya, enam daripada 20 AJK pusat DAP (terpilih dengan undi) dilahirkan selepas tahun 1970, dan dua orang lagi, iaitu saudari Teo Nie Ching dan saudara Zairil Khir Johari dilahirkan selepas tahun 1980.

Daripada 37 ahli parlimen DAP, 4 dilahirkan selepas tahun 1980. Daripada 104 ADUN, 21 dilahirkan selepas tahun 1980. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, barangkali DAPSY boleh memainkan peranan sebagai gelanggang untuk melatih pelapis baru, antara umur 17 hingga 30 tahun, dan mereka yang melebihi usia 30 tahun akan mempunyai ruang yang cukup untuk memainkan peranan secara langsung di barisan pimpinan tertinggi.

Ketiganya, apakah kita boleh mempunyai 50 peratus keahlian dan kepimpinan daripada kaum wanita menjelang tahun 2025? Bolehkah kita membayangkan bahawa kita tidak perlu lagi sayap Wanita di masa depan?

Perlembagaan parti akan dipinda untuk menetapkan kuota 30 peratus AJK Pusat parti disandang kaum wanita. Cabarannya sekarang, apakah selepas itu DAP juga akan menjadi pilihan golongan wanita, tanpa mengira kaum? Adakah kita mampu menjadikan ia satu gerakan untuk membawa kaum wanita ke dalam arus perdana politik?

Apabila wanita memainkan peranan penting secara langsung di peringkat pimpinan pusat, maka apakah kita memerlukan lagi sayap wanita?

Saya sedar bahawa bunyinya jauh untuk dikecapi. Namun dunia ini diperintah idea. Dan hanya idea dan ideal yang mampu menggerakkan DAP ke depan.

Tiada ulasan: