Syariah di negara ini sekali lagi dihina dan diperlekeh oleh penganut Islam sendiri apabila sebuah kerajaan yang dipimpin oleh kaum Iam kerajaan meluluskan tambahan permit cabutan judi kepada Syarikat Magnum, Damacai dan Sports Toto.
Gerakan Sokong Syariah melihat perkara ini sebagai suatu yang amat serius.
Ketiga-tiga syarikat perjudian ini akan mengadakan cabutan khas melibatkan 22 hari Selasa sepanjang tahun 2014 yang mana menyaksikan tahun ini sebagai tahun naik kos sara hidup dan rakyat digesa hidup secara wasatiyah (sederhana).
Ini bermaksud terdapat tambahan sebanyak 66 kali cabutan nombor ekor untuk diperjudikan di Semenanjung Malaysia untuk tahun ini sahaja. Malah untuk Sabah dan Sarawak, jumlah cabutan adalah lebih banyak kerana terdapat 3 lagi syarikat perjudian NFO yang hanya beroperasi di Sabah dan Sarawak.
Tema sambutan Maulidur Rasul tahun 1435H atau tahun 2014 yang jatuh pada 14 Januari 2014 bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1435H ialah "WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH". Tema ini adalah amat baik dan bertepatan dengan sikap cintakan syariah. Mengapa penulis memberi komen begitu? Perhatikan hadis di bawah.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu said Sabda Rasulullah SAW:
Nabi Nuh a.s akan dipanggil pada hari kiamat lalu baginda berkata Labbaik dan Sa’daik wahai tuhan. Lalu dikatakan kepada Nabi Nuh a.s “adakah kau telah menyampaikan?” Nabi Nuh a.s berkata “ya”. Lalu ditanya kepada umatnya,”adakah dia telah menyampaikan kepada kamu?”. Mereka berkata :”Tidak ada peringatan yang datang kepada kami”. Lalu Allah s.w.t bertanya kepada Nabi Nuh a.s :
“siapa saksimu?”. Nabi Nuh a.s berkata : “ Muhamad dan umatnya”. Lalu umat Nabi Muhammad s.a.w menjadi saksi bahawa Nabi Nuh a.s telah menyampaikan.“Dan Rasul(Muhammad) menjadi saksi atas ( perbuatan) kamu”
(Rasulullah kemudian membaca ayat ini) Itulah yang dimaksudkan oleh Allah SWT di dalam Quran
“Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil(wasatan)dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”. (Al Baqarah 143)
Istilah wasatiyyah adalah adil. Adil dalam ertikata menerima hukum Islam. Meletak syariah Islam di tempat paling tinggi semampu yang mungkin. Kerajaan Malaysia yang gemar menggunakan istilah wasatiyyah seolah-olah faham bahawa umat wasatiyyah akan menjadi saksi kepada dakwah Nabi Nuh di akhirat kelak. Adakah umat yang pernah melulus, mengaut hasil judi dan menambah permit judi layak menjadi saksi Nabi Nuh?
Inilah maksud penghinaan dan sikap memperlekeh istilah syariah dan meletak terma Al Quran untuk jajaan menarik sokongan rakyat semata-mata.
Allah telah berfirman di dalam Surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud :
“ Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi adan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan dari mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripda melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil ?”.
Jika pemerintah masih menganggap judi adalah ajaran serta tabiat kaum bukan Islam sebenarnya mereka juga jahil berkenan ajaran agama lain. Dalam agama Kristian, perjudian dikutuk keras sebagai amalan diskriminatif yang menguntungkan satu pihak dan menganiaya satu pihak yang lain hingga meleburkan nilai-nilai kehormatan dan kemanusiaan seseorang sebagaimana yang tercatat dalam kitabnya The New Testament (Mark 12:31)
Demikian juga agama Buddha, perjudian dikutuk sebagai amalan yang jahat kerana ia meruntun kepada pelbagai natijah negatif yang mampu memporak-perandakan kehidupan. Dalam sebuah teks Buddha, Digha Nikaya, disebutkan bagaimana amalan perjudian mampu menjelmakan krisis moral yang parah termasuklah mencetuskan kebencian sesama manusia, menghancurkan harta benda dan menghakis kepercayaan masyarakat dan kerabat terhadap seseorang.
Pengharaman judi turut disebut dalam teks agama Hindu yang dikaitkan dengan pelbagai krisis nilai dan pendangkalan moral seperti hancurnya nilai amanah, hilangnya perasaan kasih sayang pada masa yang sama membiak amalan penyelewengan, menggejala nilai pembaziran dan membudaya pengabaian tanggungjawab dalam masyarakat (Tirukkural, 94: 931-940).
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kelihatan lantang menentang cadangan lesen judi diberikan kepada orang Islam. Malah kata beliau agama sendiri (Islam) kita dianjurkan untuk berniaga dengan perkara-perkara yang halal, bukan yang haram. Tetapi ironinya kerajaan sendiri yang memasukkan hasil cukai judi dalam akuan disatukan yang digunakan untuk mengurus perbelanjaan ter,asuk gaji penjawat awam!
Kerajaan yang suka mengguna istilah wasatiyyah ini juga sangat bergantung kepada hasil perjudian untuk menampung pendapatan negara.
Dengan tidak mengambil kisah langsung musibah akibat judi sebenarnya pertambahan haricabutan perjudian hanya akan menambahkan tempoh kerugian pelanggan dan mendorong kepada peningkatan kes hutang Ah Long dengan jumlah hari perjudian cabutan nombor ekor 178 hari tahun ini.
Berdasarkan jawapan Menteri Kewangan pada sidang Parlimen September 2013, kerajaan Malaysia telah mengutip RM70.8 juta untuk cukai cabutan khas bagi tempoh Januari hingga Jun 2013.
Jawapan Parlimen pada 31 Oktober 2013 juga menjelaskan jumlah cukai pertaruhan daripada enam syarikat operator nombor ramalan bagi tahun 2008 hingga 2012 adalah RM6.3 bilion.
Ini bermakn Secara purata kerajaan mengutip RM1.26 bilion setiap tahun daripada perjudian nombor ramalan tidak termasuk daripada Kasino Genting Highlands dan mesin slot di kelab persatuan atau persendirian.
Untuk mesin slot, cukai yang dikutip kerajaan RM73.6 juta, pada tahun 2010, RM77.3 juta (2011) dan RM82.4 juta (2012).
Jelas jika ada yang beranggapan bahawa Malaysia merupakan salah satu pusat judi yang hebat seperti Las Vegas ia bukan suatu mitos atau fitnah.
Cukup memalukan apabila beberapa ahli Parlimen berbangsa Cina menekan Parlimen bersetuju agar akuan wang disatukan tidak dimasukkan wang judi.
Sikap menambah permit cabutan judi adalah sama seperti sikap kerajaan cuba melulus lesen judi bola pada tahun 2010 semata-mata mengaut keuntungan dicelahan musim Piala Dunia dan ia suatu sikap amat tidak bertanggungjawab, menghina syariah dan menunjukkan mereka tidak layak mengalung istilah wasatiyyah ke leher.
*Penulis adalah seorang jurutera pengeluaran serta aktivis Gerakan Sokong Syariah (Gesa)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan