Jumaat, 31 Januari 2014

“MCA jangan menghina, pengundi Kajang bukan sate”

KEADILAN DAILY

zuraida_kamaruddin
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin memberi amaran kepada parti komponen Barisan Nasional, MCA supaya tidak memperkecil dan menghina pengundi di DUN Kajang.

Dua pemimpin MCA sebelum ini Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Wee Ka Siong mempersoalkan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di PRK DUN Kajang.

Wee Ka Siong dilaporkan berkata mengapa Anwar sebagai pemimpin ‘bertaraf dunia’ bertanding di DUN Kajang yang hanya merupakan ‘pekan Sate’

Kata Zuraida, keputusan Anwar bertanding di DUN Kajang bukan sesuatu yang mudah, tetapi keperluan yang dibuat untuk kepentingan rakyat.

“Kajang mungkin terkenal dengan makanannya iaitu sate. Tetapi tidak boleh dipanggil ‘pekan sate’ atau ‘penduduk sate’.

“Sebagai pemimpin negara, Wee Ka Siong perlu sedar bahawa memanggil Kajang sebagai ‘pekan sate ‘ adalah benar-benar menghina dan merendahkan maruah penduduk Kajang,” kata Zuraida dalam kenyataannya hari ini.

Katanya, penyokong Pakatan Rakyat tidak gentar berhadapan dengan calon yang dikemukakan, sama ada berlaku percanggahan yang akan mewajarkan MCA memberi laluan kepada Umno untuk bertanding.

Tegas Zuraida, KEADILAN sebagai parti berbilang kaum tidak wujud persoalan mengenai etnik calon.

“Jika Malaysia mahu menuju negara inklusif yang berbilang kaum, langkah pertama adalah keluar daripada pemikiran yang stereotaip terhadap sesebuah kaum dan penduduk,” katanya.

DUN Kajang mempunyai komposisi kaum iaitu Melayu (48.89%), Cina (40.8%) dan India (10%)
“Itu pemikiran sempit dan pandangan yang ketinggalan zaman

“Wanita KEADILAN percaya Liow Tiong Lai, Wee Ka Siong dan MCA tidak lagi relevan untuk bercakap bagi masyarakat Cina,” kata Zuraida.

Tiada ulasan: