Khamis, 30 Januari 2014

Aliran Trafik Lebuhraya Plus Bergerak Perlahan Tengah Hari Ini

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Aliran trafik dari ibu negara ke arah utara dan selatan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan bergerak perlahan setakat tengah hari Khamis.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Sdn Bhd berkata bilangan kenderaan semakin bertambah dan terdapat kemalangan yang berlaku di dua tempat berasingan menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan.

"Kawasan kemalangan itu di Kulai ke Sedenak dan dari Bangi ke Putra Mahkota pada pukul 11.30 dan 11.55 tadi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan keadaan trafik agak perlahan di kawasan kemalangan dari Kulai menghala ke Sedenak.

"Kadar trafik agak sibuk dengan peningkatan jumlah kenderaan terutama di Nilai menghala ke Seremban dan Slim River menghala ke Gopeng," katanya.

Pengguna jalan raya dinasihat supaya berhati-hati ketika menghampiri kawasan kemalangan dan patuhi had laju yang ditetapkan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Tiada ulasan: