Khamis, 30 Januari 2014

STAM 2013: 60.4 Peratus Sekurang-Kurangnya Pangkat Maqbul 10 Mata Pelajaran

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Khiar Mohamad Yusof menunjukkan analisis keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2013 di Kementerian Pendidikan di Putrajaya, Khamis. Seramai 3,513 atau 60.4 peratus calon STAM 2013 berjaya memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (lulus) dalam kesemua 10 mata pelajaran. -foto BERNAMA
MSTAR ONLINE


PUTRAJAYA: Sebanyak 3,513 pelajar atau 60.4 peratus mendapat sekurang-kurangnya pangkat Maqbul (lulus) untuk 10 mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2013 daripada 5,816 calon.

Keputusan itu menurun 7.1 peratus berbanding 2012 apabila daripada 5,819 yang menduduki peperiksaan, 3,927 atau 67.5 lulus semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata calon yang memperoleh sijil peringkat Mumtaz (cemerlang) pada 2013 ialah sebanyak 369 orang berbanding 385 orang pada tahun 2012.

"Bilangan calon yang memperoleh sijil pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik)dan Jayyid (baik) serta Maqbul turut menurun," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan STAM 2013 di sini Khamis.

Katanya penurunan pencapaian dari segi bilangan calon yang paling banyak ialah dalam kategori Jayyid Jiddan iaitu sebanyak 1,091 (1,264 pada 2012), calon yang mendapat pangkat Jayyid ialah 1,270 orang dan pangkat Maqbul 333 orang. (

Khair berkata secara keseluruhan, pencapaian calon STAM 2013 menunjukkan penurunan sebanyak 0.12 mata, iaitu daripada indeks gred purata nasional (GPN) 3.08 mata pada 2012 kepada indeks GPN 3.20 mata pada 2013.

Ditanya mengenai usaha kementerian dalam meningkatkan pencapaian peperiksaan STAM di masa akan datang, beliau berkata pihaknya kini merancang untuk mendapatkan penutur jati dari negara timur tengah untuk mengajar subjek Bahasa Arab.

"Kami mendapati terdapat penurunan pada keputusan STAM 2013 dan pengurangan ini lebih kepada subjek-subjek untuk Bahasa Arab dan kami rasa terdapat keperluan untuk memberi sokongan kepada guru-guru Bahasa Arab bagi meningkatkan pencapaian para pelajar di masa akan datang," katanya.

Beliau berkata cadangan sama untuk subjek Bahasa Inggeris masih dalam peringkat perancangan. - BERNAMA

Tiada ulasan: