Khamis, 30 Januari 2014

SPR: Kos PRK semakin meningkat


TAN SRI ABD AZIZ MOHD YUSOF


KERAJAAN membelanjakan lebih RM11 juta bagi melaksanakan 16 pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU12 yang lalu.

Dianggarkan sekitar antara RM318,000 dan RM1.3 juta diperlukan bagi melaksanakan sesebuah PRK.

Kebiasaannya PRK diadakan jika terdapat kerusi kawasan itu dikosongkan akibat kematian atau keuzuran, namun terdapat juga kekosongan berlaku bagi memenuhi tuntutan politik semasa.

Sinar Harian menerusi wartawan Robiatuladawiyah Abd Rashad sempat mendapatkan sedikit penjelasan daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), TAN SRI ABD AZIZ MOHD YUSOF mengenai kriteria menjadi calon dan kos mengurus bagi sesebuah PRK.

Apakah kriteria bagi seseorang calon untuk bertanding kerusi Dun?

Seperti biasa, beliau mestilah warganegara Malaysia, beralamat di negeri yang ingin ditandingi, berumur lebih 21 tahun, sempurna akal, tidak muflis, tidak memegang jawatan berpendapatan dan tidak pernah di penjara melebihi satu tahun (tetapi boleh bertanding selepas tamat hukuman).

Boleh Tan Sri jelaskan mengenai syarat yang memerlukan calon beralamat di negeri yang ingin di tandingi itu?

Alamat kad pengenalan calon mestilah di negeri tersebut, contohnya dalam kes kekosongan Dun Kajang. Mana-mana calon yang ingin bertanding, perlu beralamat di Selangor.

Ada yang mengatakan calon bagi Dun perlu menjadi pemastautin di kawasan itu,  ada tempoh tertentu untuk seorang itu dianggap pemastautin di kawasan itu?

Tidak perlu, peraturan hanya mengatakan beralamat di negeri tersebut dan tidak ada tempoh masa dinyatakan. Pada hari penamaan calon, alamat yang didaftarkan pada kad pengenalan itu yang diambil, tidak kiralah sama ada beliau baru sehari menukar alamat atau sebagainya.

Contoh Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding di Kajang, maka alamat kad pengenalannya mesti di Selangor. Cuma pencadang dan penyokong sahaja perlu menjadi pemastautin tetap di kawasan itu.

Berapakah kos anggaran sesebuah PRK?

Pada masa sekarang ini anggaran sudah melebihi RM1 juta. Contoh PRK terbaru di Dun Sungai Limau dan Besut melebihi RM1 juta.

Tan Sri boleh jelaskan apakah faktor yang melibatkan perbelanjaan sesebuah PRK?

Kos ini melibatkan banyak faktor, ia bergantung kepada besar kawasan, bilangan pengundi, kawasan bandar atau luar bandar.

Harga barang berbeza ikut keadaan semasa, harga sewaan pusat mengundi dan sebagainya. Antara perkara lain yang diambil kira adalah adakah kawasan itu mempunyai pengundi luar negara dan pengundi pos.

Perlu juga diteliti sama ada perlu adakan latihan atau tidak, dan jumlah petugas yang diperlukan. Apa yang pasti kos semakin hari semakin meningkat dan belanjanya besar.

Adakah jumlah calon akan turut mempengaruhi perbelanjaan itu nanti?

Tidak. Cuma jika tiada pertandingan kosnya berkurangan. Tetapi biasalah bila ada peluang orang akan gunakan untuk mencuba nasib, perkara ini tidak salah. Pada PRU13 Dun Kajang berdepan dengan cabaran enam penjuru.

Ada yang mengatakan menguruskan PRK Dun lebih mudah berbanding Parlimen, komen Tan Sri?

Untuk adakah sesebuah pilihan raya bukan perkara main-main tidak kiralah sama ada untuk Dun ataupun Parlimen. Urusannya melibatkan kos yang besar, masa yang panjang dan ramai pihak terutamanya pengundi.

Jangan ingat SPR sahaja yang keluar belanja, pihak lain juga terlibat terutamanya agensi penguatkuasa.  Perkara ini bukan boleh dibuat main-main.

Bolehkah seseorang Adun itu melepaskan jawatan mereka tanpa sebab yang kukuh seperti keuzuran atau kematian dan apakah produser yang perlu dilalui?

Boleh. Adun boleh berhenti daripada menjadi ahli dengan mengutus surat yang ditandatangani kepada Speaker Dun. Speaker Dun kemudian akan memaklumkan kekosongan kerusi Dun kepada SPR supaya di adakan pilihan raya kecil semula.

Adakah Adun itu boleh dikenakan tindakan undang-undang?

Tiada peruntukan untuk itu. Adun itu boleh meletakkan jawatan atas kemahuannya sendiri, cuma dari segi moral nampak tidak baik. Rakyat telah bersusah payah keluar mengundi, ada yang terpaksa ambil cuti, beratur panjang dan berpanas.

Rakyat berharap undi mereka itu kekal bagi tempoh lima tahun tetapi sebaliknya berlaku. Kecualilah wakil rakyat di kawasan itu meninggal dunia, uzur atau disabitkan dakwaan jenayah.

Kes pengosongan kerusi tanpa kematian atau keuzuran bukan perkara baharu, sebagai pihak yang menguruskan proses demokrasi dalam negara, pada pandangan Tan Sri patut atau tidak dibenarkan terus berlaku?

Sepatutnya tidak berlakulah. Seolah-olah apa yang kita buat (memartabatkan demokrasi) ini sia-sia, kerana kes itu tidak ada sebab besar.

Kes yang berlaku lebih kepada faktor politik. Tidak sesuai guna cara ini (kosongkan kerusi), kalau betul nak tukar tunggulah lima tahun. Memanglah undang-undang membenarkan tetapi, buat pilihan raya bukan kerja main-main.

Tiada ulasan: