PENDAPAT dan tekaan mengenai keputusan kerajaan menaikkan atau membiarkan kenaikan harga itu dan ini adalah banyak dan pelbagai. Ada yang mengatakan kerajaan Umno-BN mahu menjimatkan dana sedia ada bagi mengurangkan beban hutang yang kini mempercepat pada kadar fenomena.
Jika tindakan pengurangan hutang ini tidak dilakukan, pengkadaran kredit negara di mata dunia akan terus merudum dan tidak mustahil Malaysia bakal menyertai senarai negara membangun yang keupayaan mereka menjelaskan ansuran diragukan.
Tidak kurang juga mengatakan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berpunca dari kerajaan sendiri adalah untuk menyelamatkan sekian banyak dana agar ia dapat digunakan untuk membiayai BRIM, lain-lain pemberian one-off (sekaligus) serta kos semakan gaji atau bonus kakitangan awam – yang mana semuanya dilihat sebagai langkah populis dalam usaha mengelakkan sokongan rakyat/pengundi BN dari terus terhakis.
Tentu sekali terdapat pula tekaan lebih nakal mengatakan kerajaan BN berbuat demikian agar lebihan dana berkenaan dapat diagihkan kepada syarikat-syarikat (dibaca juga, pemilik syarikat) yang mempunyai hubungan istimewa dengan pemimpin Umno-BN. Spekulasi seperti ini melahirkan pula spekulasi lain betapa matlamat menaikkan harga barangan dan perkhidmatan secara maharajalela itu mempunyai kesan ‘gergaji tiga mata’ – maksudnya keuntungan kepada syarikat/pemilik syarikat, habuan untuk sesiapa yang bertanggungjawab meluluskan kenaikan harga dan sumbangan untuk parti bagi pelbagai tujuan.
Sementara spekulasi terakhir ini tidak berasas dan tidak boleh dibuktikan secara objektif, tetapi pada waktu sama sukar juga untuk menolaknya begitu sahaja.
Namun bagi kebanyakan pemimpin Umno dalam kerajaan dan termasuk Perdana Menteri Najib Razak sendiri, kononnya semua kenaikan itu memberikan kesan jangka panjang yang positif terhadap ekonomi Malaysia.
KESAN POSITIF EKONOMI
Begitupun, di sebalik penjelasan demi penjelasan pemimpin kerajaan Umno-BN, pelbagai pihak tertanya kesan positif ekonomi yang bagaimanakah yang dimaksudkan? Apakah kesan jangka panjang yang disebut-sebut oleh Najib dan menteri Umno-BN lain akan mengambil bentuk betapa dengan kenaikan pelbagai komoditi dan perkhidmatan utama akan menyebabkan dalam, katakan lima tahun akan datang ini, rakyat Malaysia akan menikmati pendapatan sahih tinggi di luar jangkaan mereka sehinggakan semua akan hidup dalam kemewahan dan kesejahteraan ekonomi?
Jika itulah maksud dan tujuan Najib, maka nampaknya dia bakal menjadi perintis ekonomi baru abad ini dan satu-satunya manusia dengan pengetahuan bidang ekonomi ala kadar tetapi boleh menukarkan keadaan tiada atau ‘nothing’ kepada sesuatu yang besar atau ‘big thing’.
Rasanya dalam sejarah ekonomi dan sejarah pentadbiran ekonomi makro baik dalam negara demokratik, sosialis atau komunis sekalipun belum ada lagi yang dapat melakukannya.
Barangkali inilah yang dikatakan oleh Najib sebagai ‘transformasi’ ekonomi. Dulu kita miskin, tetapi bila semua harga barangan dan perkhidmatan dinaikkan, kita tiba-tiba menjadi kaya raya.
Seakan-akan kian jelas betapa ekonomi Malaysia di bawah kerajaan Umno-BN pimpinan Najib dipacu oleh hutang isi rumah/rumah tangga.
Dalam masa sedekad lalu kita telah melihat betapa hutang isu rumah Malaysia mencecah kadar 80 peratus dari KDNK. Hampir 80 peratus dari kalangan rakyat Malaysia yang mana pendapatan keluarga kurang dari RM4,000 sebulan sebagaimana disebut oleh Perdana Menteri sendiri dalam perutusan tahun barunya terpaksa mengenepikan 70 peratus dari pendapatan tersebut bagi menjelaskan ansuran pelbagai hutang.
Dengan mengandaikan angka RM4,000 sebagai pendapatan tertinggi sesebuah keluarga maka ini bermakna sebanyak RM2,800 perlu digunakan untuk menjelaskan ansuran hutang dan baki RM1,200 untuk meneruskan kehidupan sebelum hari gaji selanjutnya.
Setelah ditolak perbelanjaan minyak/tambang kenderaan ke tempat kerja, bayaran tol, bayaran utiliti, perbelajaan persekolahan harian dan bulanan anak-anak, maka bayangkan berapa lagi berbaki untuk digunakan untuk membeli makanan dan keperluan lain?
Bagi yang ada kad kredit, berhutang lagilah jawabnya. Bagi yang tiada, terpaksalah pinjam dengan kawan atau saudara mara.
Beginilah senario kehidupan rakyat Malaysia sederhana dan ke bawah. Semakin hari keadaannya semakin sempit dan parah?
Apakah ini transformasi ekonomi yang dikatakan oleh Najib dan apakah keadaan seperti ini boleh mengubah nasib mereka dalam jangka panjang?
Tentu sekali Najib memiliki semua jawapannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan