Rabu, 29 Januari 2014

Syukur, saudara kita tak perlu bakar rumah



Oleh DR AZMAN IBRAHIM


Ketika seorang hamba Allah yang miskin dari Sura, Dungun terpaksa menjalani kehidupan merempat selama 10 tahun dengan menempati rumah yang lebih layak digelar kandang kambing, ia menyerlahkan bagaimana rendahnya tahap keprihatinan pihak berwajib dengan realiti sebenar kehidupan rakyat.

Biasa kita dengar orang uzur tunggu bantuan, sampai mati tak sempat rasa.

Jangan terkejut kalau saya maklumkan di kawasan Jabi ada hamba Allah yang tinggal di sebuah rumah dengan keadaan yang sangat uzur bertaraf sebuah dangau tunggu durian, berkali-kali minta bantuan rumah PPRT tetapi hampa.

Akhirnya ada orang nasihatkan kalau nak bantuan mudah, baik bakar rumah uzur tu. Apabila rumahnya ‘terbakar’, barulah beliau mendapat bantuan rumah kebajikan.

Saya tak salahkan beliau atas tindakannya menyebabkan rumah sendiri terbakar kerana Umno mengajar rakyat supaya jadi penipu untuk mendapatkan hak mereka.

Kenapa saya tak percaya bahawa rumah tersebut terbakar? Sebabnya bila saya pergi mengunjungi keluarga malang ini selepas kebakaran ini berlaku, didapati keseluruhan barang-barang dalam rumah dapat diselamatkan termasuklah pinggang dan kerusi buruk.

Logiknya dengan rumah kayu uzur seperti itu, api yang marak hanya mengambil masa beberapa minit untuk memusnahkan keseluruhan strukturnya.

Maknanya tuan rumah telah sedia kemaskan semua barang-barang, dikeluarkan dari rumah kemudian barulah rumahnya ‘terbakar’. Siapa yang salah dalam hal ini?

Syukur kepada Allah kerana saudara kita di Dungun ini tak perlu bakar rumah sendiri untuk mendapatkan bantuan sebuah rumah atas keprihatinan PAS Dun Sura tampil menghulurkan bantuan membina sebuah rumah sebagai tempat berlindung bagi mereka.

Bagaimana dalam masa yang sama, boleh ada rumah PPRT yang dijadikan markas BN semasa Pilihanraya Umum ke 13 lalu. Ada juga rumah PPRT yang disewa oleh tuan asalnya disebabkan beliau sendiri telah sedia memiliki rumah yang selesa untuk didiami.

Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang (daif) tetapi mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna dan selesa.

Harga pembiayaan di bawah akan diberikan subsidi sebanyak satu pertiga (1/3) daripada kos pembiayaan oleh Kerajaan sementara dua per tiga (2/3) lagi adalah pinjaman tanpa faedah yang berlandaskan konsep qardhul hassan.

Pemohon mestilah warganegara Malaysia, berumur 18 hingga 65 tahun, berpendapatan kasar seisi rumah tidak melebihi RM1,500 sebulan, tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang serta tidak sempurna. Mempunyai tanah atau tapak yang bersesuaian. Berkahwin atau, ibu / bapa tunggal yang mempunyai tanggungan.

Saya senaraikan syarat-syarat di atas ini yang dipetik dari sebuah laman web pihak berwajib yang menguruskan program PPRT ini dengan cuba meneliti dan mendalami kalau-kalau ada di antara syarat-syarat tersebut yang tidak memenuhi kelayakan sehingga ada saudara kita yang tak bernasib baik seperti contoh di atas tadi terpaksa menunggu sehingga 10 tahun atau terpaksa bakar rumah sendiri barulah dikategorikan layak terima bantuan!

Bantuan atau sumbangan yang disasarkan untuk orang ramai yang memerlukan tetapi sekadar berlegar di kalangan kroni adalah sifir cara Umno bekerja.

Sebab itulah Mat Said sendiri pernah merungut apabila kurma dan air zam-zam sumbangan Ramadhan berlonggok di rumah Pengerusi JKKK merangkap ketua cawangan Umno sekaligus mengagalkan cita-cita Mat Said untuk melihat botol air zam-zam yang terpampang wajahnya sampai ke setiap pintu rumah rakyat Terengganu.

Minta maaf, Exco Kebajikan Terengganu jangan pula jawab, “Dun Sura tu kawasan PAS!”

Umno adalah Umno dulu, kini dan selamanya.

Penulis adalah Ketua Lajnah Kebajikan PAS Terengganu.

Tiada ulasan: