Dua butir ‘Molotov Cocktails’
telah dilemparkan kedalam kawasan gereja dijalan Farquhar di Pulau Pinang pagi tadi dan ini adalah satu kejadian yang sangat
menakutkan kepada siapa yang ada agamanya dan yang menghormati undang-undang
serta memahami keadaan hidup dalam negara berbilang kaum dan agama. Telah
dikatakan tindakan dua orang diatas motorsikal membaling ‘Molotov cocktails’
ialah kerana rentangan kain digereja yang menggunakan nama Allah itu.
Negara ini seolah-olah sudah
tiada undang-undang lagi dan seolah-olah kita tidak ada kerajaan yang memimpin
kita lagi. Kita sekarang bukan sahaja tidak ada siapa yang mentadbir kita,
rakyat yang ramai pun sudah tidak mengindahkan hidup beragama dan bermasyarakat
berbilang kaum. Tiada siapa yang takut dengan undang-undang semata-mata telah
dibudayakan dalam kepimpinan kerajaan yang undang-undang itu hanya untuk siapa
yang hendak dipersalahkan sahaja.
Siapa yang melakukan kerja hina
ini wajar ditahan dan dihadapkan dihadapan pengadilan Mahkamah dengan serta
merta kerana kejadian ini boleh merebak dan akan tidak dapat dikawal lagi.
Ramai diantara kita tidak mempunyai tempat lain untuk berpindah. 'Di mana bumi
dipijak disitulah langit yang kita junjung'.
Rakyat ada hak untuk hidup aman.
Kenapa politik begitu zalim terhadap rakyat kerana isu yang menyebabkan
kejadian ini adalah isu politik dan bukannya agama. Ia bukan isu agama kerana
Allah itu adalah Tuhan semesta alam dan nama Tuhan ini telah diguna pakai dimana-mana
diseluruh dunia ini. Kenapa isu ini menjadi besar dinegara ini pun tiada siapa
yang boleh menentukan penyebabnya selain dari isu politik.
Sebelum kita berjuang untuk agama
elok masing-masing bertanya kepada diri sendiri, adakah kita sebenarnya
memahami tentang agama yang kita masing-masing anuti sekarang ini. Bagi mereka
yang benar beragama dengan sesungguhnya keadaan ini tidak akan berlaku kerana
jika masing-masing beragama kita akan hidup dalam keadaan tenang dan sejuk
jiwa.
Blog ini pernah mencadangkan
supaya dihimpunkan semua alim ulamak fiqh dan tasawuf yang muktabar dari
seluruh dunia untuk membantu usaha kita menjaga keamanan dalam masyarakat
berbilang kaum dan agama ini. Jangan pula dianggap tindakan itu merupakan
tindakan kuasa luar masuk campur dalam negara kita, kerana agama tidak mempunyai
sempadan geografi atau politiknya. Agama itu universal dan jika dilakukan
himpunan untuk menyelesaikan masalah ini ia adalah satu tindakan yang proaktif
bagi kerajaan hari ini.
Keadaan ini tidak boleh dibiarkan
berlaku dengan sewenang-wenangnya tanpa tindakan mencegahnya. Diharap tidak ada
pihak yang sengajakan membesarkan isu ini untuk digunakan untuk politik sesuatu
pihak kerana sejarah negara ini membuktikan yang setengah pihak amat menyukai
keadaan ini berlaku untuk menjadikan alasan untuk memperkuatkan kedudukan
politik mereka.
Ada pemimpin negara ini yang berkuasa
disebabkan keadaan yang tidak menentu dan merbahaya dan keadaan merbahaya ini
mungkin sengaja dilakukan untuk tujuan dan matlamat itu. Apa yang berlaku di
Pulau Pinang semalam, ‘accountability’ nya wajar diambil tindakan oleh Kementerian dan
Menteri yang bertanggungjawab tentang keselamatan negara. Jika ia gagal
diselesaikan dengan secepat yang mungkin, Menteri yang bertanggungjawab mesti
mengambil ‘accountability’ terhadap apa yang berlaku ini.
Jika Menteri dan Kementerian yang
bertanggungjawab tidak mahu mengambil ‘accountability’ ini maka seluruh
kerajaan wajar meletakkan jawatan kerana isu ini perlu diambil alih oleh orang
lain. Pemimpin itu wajar yang tidak dipersepsikan sebagai pemimpin yang tidak
selalu menggunakan sentimen perkauman dan agamanya tanpa hala tuju.
Sementara itu orang ramai yang
terkejut dengan kejadian ini berharap pihak Polis akan dapat menjalankan
penyiasatan dan membawa pelaku jahat itu kemuka pengadilan secepat yang
mungkin.
Kita mahu tahu siapa dalang
disebalik kejadian ini. Itu sebabnya saya selalu berkata jika kita dipimpin
oleh mereka yang ‘desperate’ untuk mengekalkan kuasa dan berhadapan pula dengan
mereka yang ‘desperate’ untuk mengambil alih kuasa itu, pasti akan membawa negara
ke kancah yang aib seperti ini.
Mangsanya bukan pihak lain tetapi
kita rakyat yang ramai-ramai ini. tetapi akhirnya kita akan tahu juga siapa dan
pihak mana yang mendapat keuntungan daripada isu yang sangat sensitif ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan