Jumaat, 31 Januari 2014

Hikayat Singa Tua & Kisah Naik harga


singa

Haris Zuan


PADA zaman dahulu kala, ratusan ribu tahun lalu, ketika ais batu campur belum dicipta, Zaiton Sameon belum lagi menyanyi dan jalan raya belum dikenakan tol, haiwan dalam belantara hidup aman dan makmur. Tiada yang kelaparan jauh lagi kebuluran. Buah-buahan berjurai di dahan, ikan melubuk di sungai.

Sehinggalah datang Sang Singa, membuat kira-kira. Menuntut hak, kononnya seluruh hutan dia yang empunya, tiada barang sebatang pokok pun yang tersisa, semuanya milik Sang Singa. Syahadan tambah Sang Singa lagi, semua haiwan harus akur akannya kerana dia mendakwa makanan di hutan ini akan habis adanya, hatta ulat dalam batu pun akan kebuluran. Hanya Sang Singa yang tahu bagaimana memastikan segala binatang mendapat makanan – biar monyet, ungka, biawak, tikus tanah, kelicap dan lain-lainnya hidup sentosa.

Sang Singa juga mengingatkan bahawa semua kayu-kayan dalam belantara itu sentiasa menjadi idaman manusia untuk diperbuat perabot di mahligai mereka. Meskipun masa itu Taib Mahmud belum berkuasa, semua binatang angguk percaya. Hujah Sang Singa, hanya satu alasan mengapa manusia tidak berani menebang biar sebatang pokok pun dalam hutan ini adalah kerana semua manusia gerun akan Sang Singa.

Maka, sebagai ufti menjaga hutan belantara, Sang Singa menuntut seekor kambing biri-biri panggang setiap hari. Oleh kerana makanan terlalu banyak dalam hutan itu, tiada menjadi masalah untuk menyediakan seekor biri-biri panggang. Maka bahagialah Sang Singa untuk 50 tahun. Makannya sentiasa terjaga, semua haiwan tunduk kecut kepadanya. Namun, sebagaimana janji Tuhan, tiada kerajaan yang kekal selamanya, apatah lagi seekor singa.

Setelah lebih setengah dekad berkuasa, hutan tempat segala haiwan itu mula ditimpa musibah. Pertamanya oleh konsesi balak yang entah diberi kepada siapa, mula memamah gigi hutan ini sedikit demi sedikit, lalu membuktikan sebenarnya Sang Singa tiadalah berkuasa. Keduanya Sang Singa yang terlalu tua dan tidak lagi ditakuti kebanyakan haiwan. Hal inilah yang makin merunsingkan Sang Singa.

Sedang Sang Singa duduk mengelamun, tiba-tiba datang seekor musang yang licik akalnya. Andainya ditamsilkan kepada dunia kini, tidak jauh bezanya Sang Musang ini dengan Tuan Penasihat, Kassim Patalan dalam filem 3 Abdul yang membawakan cadangan untuk menyelamatkan perniagaan Sadiq Sigaraga yang hampir lingkup.

Menurut tilikan Sang Musang, jika berterusan begini, mengikut perkiraannya, tiadalah lama lagi Sang Singa dapat berkuasa. Nescaya penggal berikutnya, sesudah empat lagi musim durian, akan hilanglah kuasa Sang Singa. Justeru itu, Sang Musang yang licik fikirannya datang dengan satu cadangan agar hendaklah Sang Singa mengarahkan agar semua binatang bukan sahaja menyediakan dia seekor anak biri-biri panggang setiap hari tetapi juga secupak beras, seraga buah-buahan dan seekor ayam daging.

Sang Singa yang lemah fikirannya itu kurang mengerti akan helah Sang Musang, namun diturutnya juga laksana kerbau dicucuk hidung. Harakian, merungutlah semua binatang kerana setiap hari bertambah beban mereka untuk memenuhi selera Sang Singa yang pada hemat mereka mula membuang tabiat kerana mula mengidam buah dan beras. Demikian kerana tiada ketahuan oleh sesiapa akan wujudnya spesies singa yang makan buah dan beras. Kemarahan mereka kian memuncak sehingga ada yang mencadangkan agar mereka melakukan demontrasi membantah kenaikan ufti. Mereka berasa tertipu kerana sudahlah hutan belantara kian derita, kini ditambah pula dengan kehendak Sang Singa yang aneh-aneh.

Sang Singa juga bertambah gelisah, mengalahkan bapa yang menunggu bini beranak sulong, kerana kelihatannya ilham Sang Musang itu mula memakan dirinya. Namun, sebagaimana Tuan Penasihat Kassim Patalan, Sang Musang tersenyum bersahaja kerana melihat helahnya berjalan rapi.

Setelah cukup empat musim, Sang Musang meminta agar Sang Singa memanggil semua binatang di dalam hutan itu, jangan ada yang tercicir barang seekor pun. Sang Singa kemudiannya membacakan teks ucapan yang dikarang Sang Musang. Menurut yang empunya cerita demikianlah isi ucapan berkenaan:

Saya mengerti akan denyut nadi semua haiwan di belantara ini yang semakin terhimpit dan tersepit hidupnya. Selama tiga musim saya memikirkan jalan terbaik untuk membaiki kehidupan saudara dan saudari. Tiada gunanya saudara dan saudari turun berdemontrasi kerana itu tidak akan membantu membaiki ekonomi kita. Maka, hasil jimat cermat dan perbelanjaan berhemat yang saya laksanakan, kini saya umumkan bantuan 1Cupak beras, 1Bakul buah-buahan dan 1Ekor ayam buat semua binatang di hutan ini. Buat semua kaum ayam, saya peruntukan beras dua cupak kerana ayam tidak elok memakan sesama sendiri

Maka bersoraklah seluruh hutan sehingga gegak gempitalah adanya dan barang siapa yang terdengar pasti menyangka bunyi itu datangnya daripada amukan mambang tanah. Tiadalah dapat digambarkan betapa bersyukurnya sekalian haiwan kerana berkat kesungguhan dan kerja keras Sang Singa dapat mereka berasa makanan percuma yang selama ini semua haiwan mampu mengingat, tiada lagi pernah terjadi dalam sejarah.

Sang Musang tersenyum puas sambil membuat isyarat 25% sebagai upah komisyen. Demikan kemudiannya Sang Musang mengingatkan Sang Singa, hendaklah apabila cukup empat musim apabila seluruh hutan kembali marah, keluarkan semula sebahagian beras, buah dan ayam yang dicukai selama ini. Nescaya akan berkekalanlah Sang Singa beroleh makanan tanpa perlu bekerja.
Diceritakan bahawa kisah Sang Singa ini sampai ke pengetahuan seorang Perdana Menteri yang bermuram durja kerana hampir kalah pilihan raya beberapa tahun dahulu. Sekian. – Roketkini.com

Tiada ulasan: