KAJANG: Heboh sana sini, sedang hangat memperkatakan kerusi Dun Kajang. Tidak terlepas dari mulut orang ramai juga adalah sate Kajang.
Bermacam-macam pandangan dan pendapat yang dilemparkan ada yang positif dan negatif.
Tidak kurang juga ada yang cuba melontarkan spekulasi untuk melaga-lagakan komponen parti dalam Pakatan Rakyat, kononnya keputusan perletakan jawatan oleh bekas Adun Kajang Lee Chin Cheh dan pemilihan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PRK Kajang sudah dirancang untuk memberi laluan kepada Anwar menjadi Menteri Besar Selangor.
Namun, apa jua yang diutarakan oleh mereka yang tidak bersangkut paut dengan keputusan pilihan raya kecil Kajang ianya tidak ke mana.
Ini kerana para pengundilah yang akan memilih dan menentukan siapa yang mereka suka dan siapa yang diharapkan untuk membela nasib mereka pada masa akan datang.
Jika di luar sana ramai yang mempertikaikan PKR kerana meletakkan Anwar sebagai calon PRK Kajang namun suasana ini berbeza sama sekali dengan pengundi-pengundi di Kajang.
Keputusan Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat memilih Anwar untuk bertanding di Duni Kajang nampaknya disambut baik oleh para pengundi di Dun ini.
Bahkan ada di kalangan pengundi berbesar hati apabila Anwar yang cukup disegani di Malaysia bahkan di peringkat antarabangsa sanggup turun ke Kajang.
"Satu kebanggaan apabila kita dapat tahu Anwar hendak bertanding di sini," kata Amir Abidin, 36.
Beliau yang juga salah seorang pengundi di Dun Kajang bersyukur apabila bekas Adun Kajang Lee berbesar hati untuk berundur kerana sememangnya tinggal jauh dari Kajang.
Jika sebelum ini bekas wakil rakyat Cikgu Lee Kim Sin yang cukup mesra dengan rakyat selalu datang berjumpa dengan masyarakat waima ketika umat Islam menunaikan solat tarawik.
"Waktu kita solat tarawih pun Cikgu Lee datang melawat kita. Walaupun dia tidak solat tapi dia datang jenguk kita," katanya ketika ditemui di Sungai Sekamat.
Malangnya Lee Chin Cheh dikatakan turun ke kawasan lebih kerap menggunakan orang tengah untuk bertemu dengan rakyat.
"Lee ini, dia OK buat kerja tetapi banyak menggunakan orang tengah. Dia akan turun sekali sekala apabila ada program yang besar-besar sahaja," luah Amir.
Namun untuk Anwar mendapat tempat di hati pengundi Kajang beliau perlu memenuhi permintaan pengundi.
Anwar juga diharap tidak mengulangi 'track record' Lee Chin Cheh kerana harapan pengundi di situ kepada Ketua Umum PKR itu cukup besar.
"Kita cuma harapkan Anwar turun melawat kawasan kita. Beliau sudah glamour. Janganlah dia guna orang tengah untuk jumpa kita. Jadi beliau turunlah untuk perkenalkan diri dengan orang kampung.
"Jangan datang sekali sahaja kemudian selepas itu guna orang tengah. Kita mahu setiap kali ada program Anwar mesti ada sekali," kata Amir.
Beliau percaya kehadiran Anwar di sini bakal memberi sinar baru kepada penduduk Kajang seterusnya kepada rakyat negeri Selangor.
Kamaruzzaman Saaba, 50, juga berbangga apabila Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan untuk bersama-sama penduduk Kajang.
"Lagi bagus, segala-galanya dia (Anwar) boleh bawa untuk Kajang. Saya berbangga dia hendak bersama-sama saya di Kajang," kata Kamaruzzaman.
Melihat perwatakan dan pencapaian Anwar selama ini, Kamaruzzaman begitu teruja untuk melihat Anwar membawa suara rakyat Kajang selepas ini apatah lagi calon PRK kali ini adalah di kalangan orang Melayu.
Sebagai pengundi sudah tentulah mahu memilih seorang pemimpin yang berkaliber, berkarisma dan boleh membawa suara rakyat.
Bagi Saiful Mohd Ali, 30, kehadiran Anwar di Kajang bermakna Anwar bersedia untuk menjalankan tanggungjawab demi rakyatnya.
"Saya harap jika beliau menjadi pemimpin di Kajang dia boleh ubah apa yang tidak baik di sini menjadi lebih baik.
"Saya tidak nafikan semua pemimpin yang diamanahkan rakyat kena turun di kawasan mereka namun untuk Anwar ini saya harap beliau boleh tunjukkan yang lebih baik daripada pemimpin-pemimpin lain," katanya.
N25 Kajang mempunyai komposisi pengundi iaitu 48 peratus Melayu dan 42 peratus Cina selebihnya India dan lain-lain kaum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan