BERULANGKALI telah dibuktikan oleh ramai penyelidik betapa kitaran ‘turun-naik’ ekonomi termasuk kaitannya dengan Keluaran Dalam Negara Kasar dan Indeks Harga Borong Barangan (termasuk perkhidmatan) sebenarnya adalah merupakan fenomena semula jadi.
Pemerhatian sedemikian telah diterbitkan menerusi banyak buku antaranya ‘The Vast Vastness’ oleh penyelidik Richard Pasichnyk, ‘Trading Commodity Futures with Classical Chart Patterns’ oleh pengamal dagangan komoditi Amerika Syarikat, Peter Brandt, sekadar menamakan dua contoh.
Maknanya, walau apa sekalipun berlaku, trend ekonomi, pasaran dan sebagainya akan mematuhi carta tertentu. Begitu pun, tidak ada penjelasan (dan tidak mungkin ada penjelasan) mengapa ia menurut trend sebagaimana yang ditunjukkan oleh carta dan graf.
Jawapannya sudah tentulah hanya Allah yang mengetahuinya.
Walaupun pemerhatian tersebut di lakukan di negara-negara lain, ia tetap benar bagi trend ekonomi dunia atau trend mana-mana negara sekalipun.
Namun, bagi orang Islam, kita tak perlu taksub dengan penemuan statistik ini kerana kitaran tersebut sudahpun disebut dalam Quran: “Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)...”Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya.” (Surah Yusuf: 48-49)
Justeru, jika ada pun satusatunya negara yang terkecuali dan terlepas daripada trend ini, setidak-tidaknya selepas tahun 1981, ialah tidak lain dan tidak bukan melainkan Malaysia.
Pada tahun itu, Dr Mahathir Mohamad yang baru dilantik menjadi Perdana Menteri telah menyadur mimpi pejuang kulit hitam dan sivil Amerika Syarikat, “I Had A Dream”. Kononnya, antara lain Dr Mahathir mengimpikan sebuah negara yang makmur dengan rakyatnya dapat menikmati usia tua tanpa sebarang masalah. Namun, apa pun mimpi beliau tak sama dan mungkin tak seikhlas mimpi Dr Martin Luther King Jr, yang benarbenar mengabdikan dirinya bagi perjuangan rakyat kulit hitam negara tersebut.
Tentu sekali hari ini orang tidak lagi bercakap tentang mimpi Dr Mahathir yang diukir pada sebuah batu dan disimpan di Museum Negara (seolah-olah ia sebuah artifak bersejarah dan batu penanda kepada anjakan ekonomi Malaysia).
Lagi pun mimpi beliau setakat bena bangunan itu dan ini dan infrastruktur sahaja dan bukannya mimpi memakmurkan rakyat. Justeru, bermula tahun mimpi itu Dr Mahathir mengubah segalagalanya. Hari ini dasar penswastaan dan kontrak runding terus yang ditinggalkan sebagai warisan menguntungkan segelintir manusia tapi menjerut leher rakyat.
Jika tidak ada dasar ini, tidak adalah kenaikan kadar elektrik, air dan utiliti lain sewenangwenangnya dan semua projek mega atau tidak mega akan dianugerahkan secara adil dan saksama kepada mereka yang layak dan bukan diberikan kepada kroni yang baru seminggu mendaftarkan syarikat sendirian berhad dengan modal berbayar RM2.
Hari ini apa yang berlaku ke atas ekonomi rakyat Malaysia (bertentangan dengan mimpi tahun 1981 Dr Mahathir) adalah warisan daripada keputusan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri itu.
PM kini Najib Razak bukan sekadar menyambung tetapi mengambil segala kesempatan yang ada berdasarkan keputusan yang tidak sama sekali menguntungkan rakyat ini tetapi sebaliknya membebankan. Tak perlulah disebutkan lagi kenaikan dan hilang kawalan ke atas ekonomi rakyat, tetapi projek yang dianugerahkan menerusi cara runding-terus ini sudah mencapai taraf super-mega.
Semua ini memamah jauh ke dalam aliran wang tunai kerajaan dan meninggalkan impak cukup parah kepada rakyat Malaysia.
Apa yang berlaku sebenarnya mengenai tindakan dan keputusan ekonomi yang diambil oleh para Perdana Menteri Umno-BN bermula daripada Dr Mahathir sehingga Najib adalah mengaut keuntungan atau memperbaiki aliran wang tunai untuk negara dengan cara memeras wang rakyat.
Benar, kerajaan tidak perlu lagi membiayai kos modal untuk bekalan elektrik, air, telefon dan tak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk menyelenggara jalan dan lebuh raya utama.
Namun sementara kerajaan menyelamatkan dananya, yang terpaksa membiayai kesemua kos tersebut termasuk memastikan pemilik projek penswastaan terus kaya adalah rakyat daripada semua lapisan.
Inikah yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir dengan mimpi beliau sehingga apabila kebanyakan rakyat Malaysia yang muda ketika beliau dilantik menjadi Perdana Menteri tetapi kini sudah tua terus mengalami mimpi buruk dan ngeri di zaman Najib?
Benar, semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan melebihi 6.0 peratus setiap tahun untuk beberapa tahun berturut-turut.
Tetapi itu sebenarnya bukan kerana beliau atau Menteri Kewangannya pandai sangat tetapi disebabkan kitaran ekonomi yang disebut itu. Apabila kitaran ekonomi mengambil giliran menurun bermula tahun 1997/1998, angka pertumbuhan 6.0 peratus itu terus menjadi debu ditiup angin.
Hari ini keadaan ekonomi global menurut kitaran berkenaan bukan lagi berada pada titik terbawah tetapi sedang menaik.
Malangnya, di Malaysia roda ekonomi itu bukan sahaja tidak menaik tetapi terus menurun dan mungkin bakal tercabut dari paksinya.
Sepatutnya dalam ghairah bermimpi dan menentukan halatuju ekonomi Malaysia untuk tiga dekad akan datang dulu, Dr Mahathir turut mengambil kira tentang ‘tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering.”
Maknanya sewaktu kitaran ekonomi berpihak kepada negara, wang tersebut disimpan untuk dikembalikan kepada rakyat dan bukannya dibelanjakan untuk bina mercu tanda atau dibuang begitu sahaja untuk ‘menspekulasi’ bijih timah dan mata wang ringgit di pasaran antarabangsa.
Justeru, hari ini, sementara di negara lain lembu gemuk sudah kembali makan lembu kurus, kita rakyat Malaysia masih terus ditelan oleh lembu kurus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan