MALAYSIAKINI
Anggota Umno akar umbi mahu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang BN dipilih daripada parti mereka dan bukannya MCA, seperti formula lama yang dipakai sebelum ini.
Ketua Umno Hulu Langat Datuk Johan Abdul Aziz berkata, permintaan itu dibuat ekoran kegagalan MCA mendapat sokongan kaum Cina dalam pilihan raya umum sejak lima tahun lalu.
Menurutnya lagi, pusat daerah mengundi di kawasan Cina – Sungai Chua 1 hingga 5 – dalam DUN gagal dimenangi sejak 2008 walaupun dulunya kubu kuat BN.
“Pusat daerah mengundi itu tidak pernah menang sejak 2008 dan 2013. Sedangkan itu tempat MCA. Mereka tidak memberikan pelan tindakan untuk menang.
"Akar umbi (Umno) di bawah berkata, kenapa tidak beri kepada kami (Umno)? Kami boleh tingkat undi Melayu untuk menang di situ," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.
ADUN Semenyih itu mengulas gesaan Pemuda Umno yang mahu pemilihan calon kawasan itu tidak dibuat berdasarkan formula lama demi mendapatkan calon terbaik – permintaan yang ditolak bulat-bulan Pemuda MCA.
'Beri pelan strategi MCA'
Menurut Johan - yang juga setiausaha Umno Selangor - kemenangan BN sebelum 2008 di DUN itu juga hasil sokongan orang Melayu dan banyak pihak mengetahui situasi itu.
"Jika MCA mahu menjadi calon, mereka perlu mengemukakan pelan strategi untuk menarik semula sokongan kaum Cina di situ," katanya.
DUN itu mempunyai 38,965 pemilih, merangkumi 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan 10 peratus India.
Johan berkata, Umno tidak ketandusan calon berkebolehan termasuk kepimpinan bahagian untuk diketengahkan bagi berdepan Anwar dalam pilihan raya kecil itu yang bakal diputuskan 5 Februari depan.
Bagaimanapun, Johan berkata, keputusan meletakkan calon Umno itu bakal diputuskan kebijaksanaan pucuk pimpinan dan menyifatkan suara mereka hanya "permintaan bukan satu desakan".
"Walaupun kita dan ada persefahaman, itu kerusi MCA. Tapi budi bicara pemimpin kena duduk bincang balik. Kita sudah bertolak ansur tetapi kaum Tionghua tak peduli," katanya.
Beliau juga membidas tindakan PKR mengosongkan kerusi itu dan menyifatkan "pengkhianatan" terhadap pengundi serta "sandiwara" untuk mengalih beberapa isu, termasuk rayuan kes liwat II.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan