Selasa, 28 Januari 2014

Bom petrol di gereja: Kem Pertahanan sedia bantu

MALAYSIAKINI

 





Kementerian Pertahanan sedia bekerjasama dengan polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengkoordinasi tindakan yang perlu diambil berhubung insiden melontar bom botol di perkarangan sebuah gereja di Pulau Pinang, kelmarin.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) yang memandang serius perkara itu, berkata beliau melihat isu berkenaan sebagai tindakan terkini polemik negara yang diterjemah kepada perlakuan lebih agresif, lapor Bernama.

"Kita kena tanganinya dengan cukup berhemah dan saya yakin pihak berkuasa mampu mengatasinya, saya sendiri sudah melalui isu ini ketika bersama Kementerian Dalam Negeri suatu ketika dahulu," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas majlis Malam Anugerah Sukan 2013 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira, Kuala Lumpur malam tadi.

Dua bom botol itu dibaling ke perkarangan gereja berkenaan bagaimanapun tidak mengakibatkan kerosakan serius.

Insiden itu dikatakan mempunyai kaitan dengan perbuatan menggantung kain rentang bertulis 'Allah is great, Jesus is the son of Allah' (Allah Maha Besar, Jesus anak Allah) di luar gereja di Lebuh Farquhar, Sungai Pinang, Pulau Tikus dan Gelugor.

Tiada ulasan: