Khamis, 30 Januari 2014

UMNO usah politikkan provokasi kaum dan agama, cuba salahkan Pakatan Rakyat – Guan Eng


lge



KUALA LUMPUR: DAP mengecam cubaan UMNO mempolitikkan insiden provokasi kaum dan agama di Pulau Pinang serta meletakkan kesalahan kepada Pakatan Rakyat, kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, ini kerana UMNO sebenarnya bermain dengan sentimen kaum dan agama dan hadir ke insiden berkenaan.

“Saya ingin ingatkan, kerajaan Negeri tidak pernah atur sebarang demonstrasi, malah dikritik teruk apabila cuba menasihatkan agar demonstrasi membantah kenaikan harga barang oleh beberapa NGO ditangguh selepas Sambutan Tahun Baru Cina.

“Dalam masa 10 hari, rakyat saksikan babak jelik yang ditunjukkan dalam insiden yang dihadiri pimpinan tertinggi UMNO, termasuk wakil rakyatnya, ahli dan penyokong UMNO negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sekali lagi mengulang komitmennya untuk mengekalkan rasa hormat terhadap kepelbagaian agama serta melindungi keharmonian kaum dan agama daripada pihak ekstremis dan rasis yang terus-menerus cuba menggugatnya.

Antara insiden yang dimaksudkan beliau adalah perhimpunan memprotes ‘flash mob’ kangkung di Seberang Jaya 18 Januari lalu; perhimpunan di Taman Alma, Bukit Mertajam sehari kemudian yang menyaksikan potretnya, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang,. dan Adun Machang Bubuk Lee Khai Loon dibakar serta serangan ‘molotove cocktail’ dan penggantungan kain rentang tanpa kebenaran di beberapa gereja di negeri itu.

Selain itu, beberapa NGO dengan sokongan UMNO Bahagian Tanjung turut mendesak penjualan daging khinzir secara terbuka di Lebuh Chulia, Jalan Kuantan dan Jalan C Y Choy di George Town diharamkan, sedangkan kira-kira 95 peratus penduduk kawasan itu adalah bukan Islam dan sudah menjadi kezaliman sejak sebelum merdeka.

Dalam pada itu, beliau berkata lagi, kerajaan Pakatan Rakyat negeri hanya fokus untuk menangani isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang memberi kesan besar kepada rakyat.

“Semua insiden itu jelas bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu kenaikan harga gula, minyak, elektrik dan tol.

“Sebagai perbandingan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menaikkan apa-apa bayaran untuk perkhidmatan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, contohnya cukai tanah, cukai pintu, tarif air dan lesen perniagaan,” katanya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: