Khamis, 30 Januari 2014

Lupakan soal MB, kita mahu menang pilihan raya, kata MB Selangor

THE MALAYSIAN INSIDER





Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) berkata, pihaknya tidak mahu fikir perubahan menteri besar buat masa ini tetapi, "kita mahu hadapi pilihan raya dahulu."

Khalid juga berkata, beliau tidak merancang untuk meletakkan jawatan tetapi berkata, "apa sahaja yang hadir selepas pilihan raya ini nanti, kita akan bincangkan di peringkat Pakatan."

Khalid menyatakan perkara ini dalam wawancara dengan yang dikendalikan wartawan BFM dan The Edge yang kini disiarkan oleh media rasmi kerajaan negeri Selangorkini.

Wawancara ini dilakukan di tengah-tengah kemelut dan rancangan untuk menggantikan beliau sebagai menteri besar apabila perletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh.

Ketika ditanya adakah beliau mempunyai sokongan daripada PAS dan DAP dan bagaimana pula dengan sokongan daripada PKR, Khalid menjawab, "Ya, saya mempunyai sokongan  buat masa ini. Parti (PKR) pula terpaksa pasrahlah (ketawa)."

Dalam wawancara itu, Khalid Ibrahim penuh yakin masa depan Selangor yang gemilang kerana, "sekarang kita bukan sahaja boleh bercakap mengenai idea tetapi juga mempunyai wang untuk menterjemah idea itu kepada bentuk fizikal."

Ini kerana, selama empat tahun pertama pentadbiran Pakatan di Selangor, kerajaan negeri telah membina rizab negeri yang kukuh.

Kata Khalid, dalam lima dan lapan tahun akan datang bukan sahaja Selangor sangat kukuh, tetapi juga menjadi tempat yang “happening”.

Bagi beliau, rizab ini adalah perlu kerana kerajaan Persekutuan tidak akan meminjamkan dana yang diperlukan Selangor.

"Takkan kita mahu berharap dan bercakap sahaja? Bagi saya, politik harus lebih daripada sekadar retorik, kerana retorik tidak boleh mengenyangkan perut.

"Pertama, dapatkan dahulu duit yang perlu. Kemudian barulah fikir nak makan apa," kata Khalid penuh keyakinan.

Khalid berkata, beliau tidak fikirkan tentang spekulasi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu jawatan menteri besar.

Bagi beliau, spekulasi itu perlu diuji terlebih dahulu.

"Sebenarnya Anwar melihat melangkaui jawatan MB. Di penghujung cerita, matlamat ialah peringkat persekutuan dengan menjadikan Selangor sebagai batu loncatan," katanya.

Bagi beliau, kombinasi pengalaman korporat dan pengalaman mentadbir kerajaan akan memberikan “head-start” (permulaan yang baik) untuk mencabar Putrajaya.

Tiada ulasan: