Jumaat, 31 Januari 2014

Jeli tetap dibangun biar pun kubu Umno

ASLANI M 


JELI: Biarpun Umno mendominasi kawasan parlimen ini sejak 2004, namun ia tidak menghalang usaha kerajaan negeri membangunkan Jeli setanding jajahan lain di Kelantan.

Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sehingga kini membangunkan tiga kawasan perumahan di bandar Jeli termasuk projek rumah kos rendah.

Taman Kifayah Binaraya PKINK ternyata membuatkan Jeli semakin deras membangun. Biar pun kedudukan Jeli agak di pedalaman, namun pertumbuhan penduduk semakin pesat, di mana permintaan projek perumahan bertambah.

Bandar Jeli yang agak sunyi sebelum ini sekarang semakin meriah. Kesibukannya makin terasa seperti juga bandar-bandar lain di Kelantan.

Malah bangunan-bangunan baru dibina Majlis Daerah Jeli (MDJ), pihak swasta dan Mara semakin bertambah.  Tenaga Nasional Bhd (TNB) juga mempunyai resort yang turut menjadi tumpuan orang ramai.

Terbaru kerajaan negeri membina pejabat MDJ bernilai RM2.5 juta terletak bersebelahan Padang Kemahkotaan. Bangunan baru itu dibina Kelkon Sdn Bhd, anak syarikat PKINK dengan usahasama MDJ.

Yang Dipertua MDJ, Abdul Manan Ali berkata, projek tersebut diletak batu asas pada 9 November 2009 oleh bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“MDJ mengalu-alukan hubungan kerjasama dengan mana-mana pihak bagi memberi impak pembangunan kepada rakyat di Jeli.

“Sekarang Jeli bandar sudah dianggap setanding dengan  bandar-bandar lain, di mana bangunan-bangunan baru semakin banyak dibina,” katanya pada program penyerahan bangunan baru MDJ yang disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob di sini, hari ini.

Pada majlis itu Pengerusi Kelkon, Wan Ismail Wan Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Mohd Sabri Abdullah menyerahkan gambar pejabat baru MDJ kepada Menteri Besar sebagai gimik perasmian.

Pada majlis itu juga  mangsa-mangsa banjir di enam mukim di Jeli pada awal Januari lalu menerima sumbangan daripada kerajaan negeri. Penduduk miskin dan warga emas juga menerima sumbangan yang turut disumbang Majlis Jaksa Pendamai Kelantan.

Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakob, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai kerajaan negeri dan persekutuan.

Abdul  Manan juga berkata, MDJ merancang meluaskan lagi kawasan pentadbirannya bagi membolehkan lebih banyak lagi hasil dapat dipungut.

Menteri Besar pula memberitahu kerajaan negeri membeku sementara permohonan hak milik tanah di jajahan Jeli bagi membolehkan pensrukturan semula dilakukan.

“Ini bagi mengelakkan seseorang pemohon memiliki sehingga berpuluh ekar tanah, sedangkan orang lain dapat sedikit. Pembekuan sementara ini bagi membolehkan kelulusan permohonan tanah diberi secara lebih adil dan telus,” ujarnya.

Sebelum itu Menteri Besar dan anggota-anggota Exco mendengar taklimat mengenai pembangunan jajahan Jeli di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli. 

Tiada ulasan: