Selasa, 28 Januari 2014
Selepas rekod buruk PISA, Muhyiddin arah kementerian kaji pendekatan sekolah terbaik dunia
Selepas diserang berkali-kali oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang ekoran prestasi buruk Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan Kementerian Pendidikan mengkaji mekanisme yang diguna pakai oleh sekolah Malaysia yang mencapai prestasi setaraf sekolah terbaik dunia.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, warga guru dan pegawai Kementerian Pendidikan perlu memahami konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) supaya gerak kerja yang diusahakan kerajaan akan dapat melonjakkan kedudukan Malaysia dalam kedudukan PISA akan datang.
“Pentaksiran PISA merupakan satu topik pendidikan yang hangat diperkatakan mutakhir ini baik di Malaysia atau pun forum antarabangsa. Analisis mendalam amat perlu agar Malaysia dapat memperbaiki kedudukan.
“Saya difahamkan terdapat beberapa sekolah di Malaysia mencapai skor atau prestasi setaraf sekolah terbaik dunia. Dengan ini saya mengarahkan Kementerian Pendidikan melihat lebih mendalam faktor penyumbang kejayaan sekolah tersebut,” katanya di Putrajaya hari ini.
Pisa menilai pelajar berusia 15 tahun dalam subjek matematik, sains dan bacaan.
Malaysia didapati jauh ketinggalan berbanding Singapura yang berada di tangga ke-2, malah negara berpendapatan rendah seperti Vietnam berada di tangga ke-17 yang lebih baik daripada Malaysia.
Bank Dunia dalam laporannya tahun lalu mengatakan sistem berpusat yang diguna pakai sektor pendidikan Malaysia menyumbang kepada prestasi buruk pelajar dalam pengajian mereka.
Muhyiddin hari ini turut menyelar pihak yang sering memperlekehkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) adalah merupakan golongan yang tidak membaca dan memahami isi kandungan pelan berkenaan.
“Saya sedar ada pihak yang inginkan usaha kita gagal dengan menyatakan usaha ini memerlukan keajaiban dan mendakwa kementerian merendahkan sasarannya kerana tidak realistik. Ini bukan soal kerajaan terlalu bercita-cita tinggi hendak mencapai sasaran dengan gopoh.
“PPPM adalah bukti bahawa kerajaan meletakkan aspirasi tertinggi dan terbaik tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. Anak-anak kita berhak menerima pendidikan terbaik dan ini semua kerajaan telah nyatakan dengan jelas,” katanya.
Mengenai sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang sering menerima kritikan daripada pihak guru dan ibu bapa, beliau telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah pendidikan bagi mengenalpasti masalah di peringkat pelaksanaan.
Katanya, salah faham berhubung pelaksanaan PBS tidak akan berlaku sekiranya sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri mempunyai kefahaman yang jelas berhubung pelaksanaan dasar berkenaan.
“Saya telah menerima banyak maklumbalas dari pelbagai pihak terutama keluhan guru. Saya faham masalah yang dihadapi guru dan saya telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian bagi mengenalpasti masalah sebenar.
“Sekiranya masih terdapat kesamaran mengenai PBS, saya minta supaya ia ditangani segera bagi mencerahkan pemahaman guru yang akan melaksanakan PBS untuk murid Tingkatan 3 yang bakal melalui format baru tahun ini,” katanya.
Menyentuh isu penempatan guru, Muhyiddin berkata sebahagian besar isu penempatan guru telah diselesaikan dan bakinya dijangka akan dapat diselesaikan menjelang Mac tahun ini.
Katanya, isu pertukaran dan penempatan guru tidak akan diselesaikan selagi jumlah yang memohon lebih besar berbanding ruang kekosongan yang ada.
“Soal pengisian jawatan telah kita buat, hampir 8,000 guru semuanya. Sebahagian besar telah diisi. Beberapa ratus berbaki, akan diisi tidak lama lagi.
“Berbaki itu akan ditempatkan selewat-lewatnya Mac ini. Mereka yang bergraduat selepas Ogos tahun lalu, akan ditempatkan berdasarkan kekosongan selepas Mac.
“Isu penempatan dan pertukaran guru memang kita selalu bincang. Yang mana kita boleh bantu atas dasar mereka memenuhi syarat kekosongan bidang, kita akan lakukan.
“Jumlah membuat permohonan pertukaran pada satu ketika pernah mencecah 20,000 permohonan setahun sedangkan kekosongan hanya 7,000 sahaja,” katanya.
Beliau turut mengingatkan guru tidak boleh lari dengan tugas tambahan yang diberikan pihak sekolah meskipun fokus kepada pengajaran dan pembelajaran perlu diberi keutamaan.
Katanya, guru sekolah di luar negara juga turut dibebankan dengan tugas tambahan dan ini sudah menjadi trend perguruan semasa.
“Saya nak sebutkan di mana-mana sistem pendidikan, guru tidak tertumpu hanya soal pengajaran sahaja, ada yang menanggung kerja tambahan seperti menjaga disiplin, ko-kurikulum dan lain-lain.
“Seboleh mungkin, kita mahu guru beri tumpuan untuk mengajar. Kalau kerja lain, itu kesediaan untuk melakukan kerja. Ia biasa berlaku di kebanyakan negara,” katanya.
September tahun lalu, Muhyiddin mengumumkan sebanyak 10,000 jawatan pembantu pentadbiran akan diwujudkan di sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan bebanan guru.
Katanya, perkara tersebut yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat merupakan sebahagian daripada dasar dalam PPPM.
“Antara langkah untuk mengurangkan beban ini adalah setiap sekolah akan dihantar seorang pembantu pentadbiran dan secara keseluruhannya seramai 10,000 kakitangan akan dihantar berperingkat-peringkat," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan