KUALA LUMPUR: Perilaku Kerajaan BN yang tidak mahu mengambil tindakan tegas terhadap penyebar kebencian di kalangan rakyat Malaysia adalah punca utama berleluasanya ketegangan kaum dan agama.
Bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata demikian pada program dialog bersama Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan, semalam.
Beliau juga kesal dengan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana tidak mengambil langkah efektif untuk membendungnya.
“Ketegangan kaum seolah-olah sengaja dibiarkan pemimpin BN sedangkan mereka mempunyai kuasa untuk menghentikannya. Ini jelas membuktikan mereka memang mahu ia berterusan.
“Pada saya, tindakan Najib yang sekadar menyuruh rakyat bertenang itu tidak cukup sama sekali, apa yang harus dilakukan adalah mengambil tindakan tegas melalui undang-undang.
“Apa yang lebih buruk lagi, ia seolah-olah dirancang apabila insiden provokasi itu hanya berlaku di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau yang juga seorang peguam menyatakan, Najib dan Kerajaan BN tidak wajar berkompromi dengan individu atau sesiapa saja yang cuba membangkitkan kebencian dan ketegangan antara kaum atau agama.
Katanya, jika tidak ada langkah pencegahan yang tegas, berkemungkinan kumpulan pelampau tidak bertanggungjawab itu semakin berani.
“Apabila kumpulan ini semakin berani kerana kebal daripada undang-undang, mereka tentu akan melakukan apa saja yang lebih memburukkan keadaan.
“Ini amat membimbangkan, secara realitinya inilah yang sedang berlaku sekarang sedangkan pemimpin tertinggi negara mendiamkan diri,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut mengalu-alukan cadangan PR untuk berdialog dengan pimpinan BN bagi meredakan ketegangan.
“Kerajaan BN harus terima pelawaan PR, tidak rugi menerimanya dan tidak salah untuk duduk berbincang bersama, malah itulah yang sepatutnya.
“Jika ia tidak diterima, maka PR harus menetapkan agenda negara dan menunjukkan kredibiliti kepimpinan kerana rakyat tentunya tidak mahu dipimpin mereka yang tidak tahu memimpin,” tegasnya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan