Jumaat, 31 Januari 2014

Pemuda PAS sokong beri peluang kepada anak negeri

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Sarawak secara dasarnya bersetuju dengan cadangan Menteri Pembangunan Tanah, Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing supaya peluang lebih luas diberikan kepada anak negeri itu oleh Petronas untuk mengisi jawatan-jawatan pengurusan dan teknikal.

“Anak-anak Sarawak sudah terbukti mempunyai kepakaran dan kemahiran yang setanding jika tidak lebih baik untuk mengisi jawatan-jawatan utama dalam industri minyak dan gas,” ujar Naib Ketuanya, Syamsul Bahri Mohd dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, khazanah bumi Sarawak ini lebih utama untuk diuruskan oleh anak Sarawak sendiri dengan bantuan dan sokongan pakar-pakar tempatan dari seluruh negara.

Namun, ujar beliau Pemuda PAS Sarawak ingin menyeru pihak kerajaan negeri supaya tidak hanya menyerahkan tanggungjawab membina kepakaran anak Sarawak kepada Petronas dan industri minyak dan gas semata-mata.

Tmabahnya, pihak kerajaan negeri hendaklah merintis dan ‘walk the talk’ dengan membuka peluang lebih luas kepada anak Sarawak dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Sebagai contoh, kata beliau Sarawak Energy kini diterajui oleh Torstein Dale Sjotveit sementara syarikat gergasi dalam bidang pembangunan hartanah, Cahaya Mata Sarawak pula diterajui oleh Richard Curtis.

“Sudah tiadakah anak Sarawak berkelayakan untuk menerajui kedua-dua syarikat gergasi di Sarawak ini?” tanya beliau.

Pemuda PAS Sarawak melihat kenyataan Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing ini hanyalah kenyataan populis dan tidak bersungguh-sungguh.

“Buktikan dahulu dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, dan janganlah hanya mudah melepaskan tanggungjawab ini kepada pihak lain, tanpa memulakan langkah ke arahnya sendiri,” katanya.

Pihak kerajaan juga, ujar beliau lagi perlu merancang ke arah melahirkan lebih ramai tenaga mahir daripada kalangan anak Sarawak.

Namun, katanya mengecewakan apabila tiada peruntukan khas untuk pembangunan belia terutama dari aspek pencapaian akademik, pembangunan sosial dan latihan kemahiran.

Tiada ulasan: