Jumaat, 31 Januari 2014

PAS buat laporan dakwa facebook anti Kristian



MALAYSIAKINI


Ketika ketegangan agama meningkat di negara ini, PAS Sabah hari ini membuat aduan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap laman Facebook yang didakwa menghina agama Kristian dan rakyat Sabah dan Sarawak.


Laporan terhadap 'Semenanjung Malaysia Anti Sabah dan Sarawak' itu
dibuat di ibupejabat polis Karamunsing dan di SKMM oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Hamid Ismail (kiri).

Katanya, beliau mengutuk sebarang tindakan menjatuhkan maruah agama, bangsa dan negeri sesiapa pun.

Pemilik facebook tersebut, tambahnya, jelas cuba untuk mengganggu dan memusnahkan keharmonian serta perpaduan yang telah sekian lama dikongsi oleh rakyat Sabah.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu, tambahnya, tidak harus dibiar begitu sahaja tanpa sebarang tindakan oleh kerajaan Sabah dan Malaysia.

Laporan Hamid itu bukan yang pertama dibuat terhadap laman Facebook tersebut, yang antara lain, mengejek penganut Kristian melalui gambar, termasuk memaku katak di salib.

Ogos lalu, parti komponen BN Sabah, Upko dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ewon Ebin membuat laporan polis menggesa tindakan diambil terhadap pencipta halaman tersebut, yang diwujudkan pada 7 Ogos 2013.

Yang menariknya, Ewon yang juga ahli Parlimen Ranau, kemudian berkata Cyber ​​Security Malaysia, sebuah agensi pakar di bawah kementeriannya, telah mengenal pasti pemilik laman tersebut. Laman itu kemudiannya tidak boleh diakses.

Bagaimanapun, semakan hari ini menunjukkan laman tersebut telah diwujudkan semula pada Disember 2013.

Pada jam 4 petang tadi, laman itu mempunyai 1,380 'likes' dan menyenaraikan enam 'administrators', yang mana laman facebook peribadi mereka dipautkan ke laman tersebut.

Tiada ulasan: