Isnin, 13 Januari 2014

Betulkah sasterawan bersama kerajaan BN?


Oleh Abd Shukur Harun 

Kita tidak pasti daripada mana maklumat diperolehi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kedengarannya seolah-olah amat pasti, apabila menegaskan bahawa golongan sasterawan sentiasa bersama kerajaan, dan tidak pernah bersama pembangkang dalam membangunkan Malaysia.

Menurutnya, jika ada pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana, manakala pemimpin negara berada di haluan sini , ia adalah dakwaan tidak benar, dan dipercayai beliau memaksudkan 'haluan sana' sebagai pembangkang, dan 'haluan sini' sebagai kerajaan.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Cerpen-Puisi dan Novel ITBM-Pena-BH di kediaman rasmi beliau, Seri Satria, Putrajaya.

Persoalan yang timbul daripada kenyataannya itu ialah jika tidak ada fakta meyakinkan mengenainya, maka ia termasuk dalam istilah 'isapan jempol', kata orang Indonesia. 'Isapan jempol' ini sama ertinya dengan 'agak-agak' atau kenyataan bohong, tidak ada asas, tidak ada fakta kukuh dan tentunya tidak wajar dipercayai, walaupun datang daripada orang besar.

Kenyataan bahawa 'Golongan sasterawan sentiasa bersama kerajaan dan tidak pernah bersama pembangkang' memberikan gambaran seolah-oleh semua sasterawan menyokong kerajaan. Benarkah begitu? Ini tanda tanya yang sangat besar dan perlu dijawab dengan fakta, bukan dengan kenyataan politik.

Tidak ada lansungkah di negara ini sasterawan yang tidak sehaluan dengan kerajaan? Sejak bila sasterawan sentiasa memihak kepada kerajaan? Tidak adakah sasterawan yang tidak memihak ke mana-mana, berdiri secara bebas mengungkapkan sesuatu yang difikirkannya benar walaupun bertentangan dengan pihak tertentu?  Atau tidak adakah sasterawan yang sangat kritikal dengan kerajaan sepanjang sejarah kesusasteraan Melayu, katakanlah sepanjang tempoh sekitar 60 tahun, hingga kini?

Lupakah Muhyiddin akan nama Ishak Haji Muhamad (Pak Sako), Ruhy Hayat (Ahmad Boestamam), Shahnon Ahmad (hingga lahir novel Shit), karya penyair Usman Awang (puisi Teluk Gong, Keranda 152, Pak Uteh) dan A Samad Said, Azizi Abdullah serta beberapa orang lagi sasterwan?

Tidak syak lagi tentu ada di kalangan sasterawan yang rasa sangat terhina dengan kenyataan timbalan perdana menteri ini. Begitu mudah meletakkan jenama sasterawan dalam dua kelompok yang bertentangan.

Inilah pandangan pemimpin politik yang 'buntu fikiran' dalam menghadapi situasi gawat sekarang, di mana mereka sentiasa khuatir akan kehilangan pengaruh dan kuasa, menyebabkan mereka merasakan semua golongan memihak kepadanya.

Semuanya ini mengingatkan saya kepada zaman komunis menguasai pemerintah Indonesia pada tahun 1960-an, hingga sasterawan di negara itu menjadi dua kelompok. Satu kelompok sasterawan berada dalam Lekra (Lembaga Kebudayaan Rakyat) yang dianggotai oleh sasterawan kiri pro-komunis, sementara satu lagi kelompok sasterawan Manifes Kebudayaan (Manifesto Kebudayaan) yang bersikap bebas.

Anggota Lekra yang didukung oleh pemerintah pro-komunis bertarung sengit dengan anggota Manifes Kebudayaan. Dalam pertarungan itu, sasterawan daripada Manifesto Kebudayaan sentiasa dikecam, dihina dan berlaku diskriminasi.

Pertentangan ini menjadi sejarah hitam dunia sastera Indonesia. Sudah tentu kita tidak mahu peristiwa seperti ini berlaku di negara ini. Apa perlunya ada kelompok dalam dunia sastera, maka jika berlaku, ia hanya menggambarkan kemunduran dunia intelektual penulis. Biarkanlah sasterawan menikmati kebebasannya, menulis apa yang difikirkannya benar. Jikapun ada sasterawan yang menyokong kerajaan atas keyakinannya sendiri, biarkanlah kerana itu adalah haknya.

Tetapi untuk mengatakan semua sasterawan menyokong kerajaan, maka itu adalah kenyataan palsu yang merendah-rendahkan daya intelek sang sasterawan.

Sejarah merakamkan bagaimana pada suatu hari Sultan Melaka memanggil Tun Sri Lanang supaya mengadapnya. Pengarang yang bergelar penulis istana itu lalu pergi ke istana dan mengadap. Sultan pun menitahkan Tun Sri Lanang, "Tulislah yang baik-baik saja mengenai negeri Melaka ini, supaya dapat diketahui oleh anak cucu kita kemudian hari."

Ini adalah kehendak dan arahan pihak yang berkuasa ke atas seorang pengarang. Sultan tentu sekali tidak mahu Tun Sri Lanang mengkritik pemerintahan baginda dan ini bermulanya sensorship dan arahan kepada penulis oleh pihak pemerintah di negeri Melayu sejak zaman dahulu.

Sasterawan adalah insan yang tinggi daya intelektualnya, sinsitivitinya, sangat sedar fungsinya sebagai jurubicara rakyat, perakam zamannya, menegakkan keadilan sosial sejak zaman berzaman, menjadi pengkritik yang serius terhadap kelemahan sesebuah pemerintahan di mana-mana pun. Kini sudah ada 12 sasterawan yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara, beberapa orang daripadanya meninggal dunia. Adakah semua sasterawan besar ini dan juga sasterawan yang tidak dinobatkan memihak kepada kerajaan BN?

Sepanjang sejarahnya, kita mulakan dengan zaman Ishak Haji Muhanmad, ramai pengarang yang sangat kritikal terhadap kerajaan. Bagaimana dengan karya A Samad Said, Ruhy Hayat, Shahnon Ahmad dan beberapa penulis lagi yang tidak memihak kepada kerajaan, di samping ramai juga penulis menyokong kerajaan atas sebab tertentu.

Masalahnya di sini ialah ada pemimpin politik yang tidak memahami peranan sasterawan sebagai jurubicara masyarakatnya, malah sangat berjauhan dengan golongan penulis, kecuali pada masa-masa tertentu dan jika ada kepentingan politik mereka terutama apabila hampir pilihan raya.

Muhyiddin yang membuat kenyataan tidak munasabah itu perlu memahami kedudukan dan tugas sasterawan dan jangan sama sekali menganggap sasterawan demikian rendah tahap pemikiran mereka. Demikian juga pemimpin politik jangan merasa diri serba tahu hanya kerana mereka bergelar pemimpin.

Kesimpulannya biar sasterawan bebas berkarya dan menentukan sikapnya, jangan menganggap mereka mudah dikelompok-kelompokkan dan menurut saja apa yang dikatakan oleh pemimpin.

Kata novelis Pramoedya Ananta Toer, “Kesalahan orang-orang pandai ialah menganggap yang lain bodoh, dan kesalahan orang-orang bodoh ialah menganggap orang-orang lain pandai”.

Tiada ulasan: