Kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan Berhubung Serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
1. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam yang bersidang pada 15 Januari 2014 memandang serius dan
amat kecewa apabila para ulama dilempar dengan kata-kata kesat dan
diperlekehkan hanya kerana pandangan atau hukum yang dikeluarkan tidak
memenuhi kehendak atau memihak kepada golongan tertentu. Sikap tidak
menghormati pemimpin (umara) semakin menjadi-jadi seolah satu trend dan
budaya masyarakat Islam di Malaysia sejak akhir-akhir ini.
2. Muzakarah juga mengingatkan seluruh umat Islam dan juga bukan Islam
bahawa apabila sikap saling hormat-menghormati semakin terhakis, ulama
serta umara dicela dan tidak dihormati maka bibit-bibit pergolakan akan
mula dirasai. Kita tidak mahu pergolakan dan pertumpahan darah yang
berlaku di sesetengah negara berlaku di negara kita Malaysia.
3. Muzakarah meminta seluruh umat Islam supaya sentiasa menjaga
keharmonian dan kedaulatan negara kerana Islam mewajibkan seluruh umat
Islam agar bersatu dengan mentaati Allah, Rasul dan pemimpin yang
dilantik secara sah oleh rakyat. Perbuatan mencela pemimpin kerana tidak
berpuas hati dengan keputusan atau tindakan kerajaan tidak boleh
dipandang remeh kerana ia akan menimbulkan fitnah, kekacauan dan
mengganggu kestabilan sesebuah negara.
4. Islam membenarkan setiap rakyat untuk menasihati pemimpin namun
tanggungjawab amar ma'ruf nahi munkar tersebut perlu dilakukan mengikut
adab dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam.
5. Muzakarah juga menasihatkan para pemimpin supaya sentiasa sensitif
terhadap kemaslahatan rakyat kerana dalam kaedah fiqh iaitu keputusan
pemimpin adalah bergantung kepada kemaslahatan rakyat. Pemerintah perlu
menggunakan segala kebijaksanaan dan hikmah dalam menangani apa juga isu
yang berlaku.
6. Muzakarah Khas pada hari ini juga menyokong tindakan yang telah
dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam menangani isu
penggunaan kalimah Allah. Tindakan serbuan yang dilakukan adalah selaras
dengan peruntukan undang-undang dan titah Tuanku Sultan Selangor, dan
buku-buku yang dirampas tidak perlu dipulangkan.
7. Muzakarah juga kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba
mempolemikkan isu-isu sensitif seperti tindakan Jais dalam
menguatkuasakan fatwa penggunaan kalimah Allah dan menjadikan agama
sebagai umpan politik. Muzakarah menyeru seluruh umat Islam supaya
menghentikan tindak tanduk seumpama ini demi menjaga kedaulatan agama,
perpaduan ummah dan keamanan negara.
Sementara itu, difahamkan, Jais masih menjalankan siasatan terhadap
kenyataan Pengarang The Herald, Lawrence Andrew mengenai gereja Katolik
di Selangor yang akan tetap menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan
mingguannya selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan