Teresa Kok  
Teresa Kok


SHAH ALAM – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memilih untuk melepaskan jawatan disandangnya dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai wakil komponen PR yang pernah menganggotai ahli lembaga pengarah perbadanan itu.

Menurutnya, beliau meletak jawatan selaku ahli lembaga pengarah kerana tidak lagi berada di Selangor.
“Saya suarakan hasrat untuk letak jawatan sebelum kontroversi ini tercetus dan perkara itu telah dibawa dalam perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) bersama Exco.

“Saya letak jawatan sebab saya tidak lagi berada di Selangor. Oleh itu, saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan bagi pihak PKNS,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Teresa turut memaklumkan bahawa rakyat boleh menilai kedua-dua kenyataan yang dikemukakan kerajaan negeri dan PKNS berhubung kemelut ini.

Sebelum ini, Teresa mewakili DAP sebagai wakil komponen PR Selangor yang dipilih menganggotai ahli lembaga pengarah PKNS sewaktu menyandang kerusi Adun Kinrara, manakala Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali mewakili PKR dan Adun Cempaka, Iskandar Abdul Samad mewakili Pas.