Isnin, 6 Januari 2014

Akibat lawak 'bodoh', Shiro nafi bakal digam RTM

 
Post Pic

 
 
PETALING JAYA: Akibat memanggil seorang menteri sebagai 'bapa mertua', kumulan pelawak Shiro dikatakan bakal digam Radio Televisyen Malaysia (RTM).
 
Bagaimanapun, ahlinya, Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Bin Razak, 28, menafikan desas desus itu dan memberitahu hubungan Shiro dengan RTM masih baik sehingga hari ini.
 
Katanya, selepas mengendalikan sebuah rancangan di RTM sempena malam tahun baharu 2014 pada Selasa, Shiro masih belum dimaklumkan apa-apa perkembangan bersabit dakwaan bakal digam RTM.
 
"Kami tidak tahu atau dimaklumkan apa-apa daripada pihak RTM tentang perkara tersebut, malah selepas rancangan itu, RTM masih memanggil kami untuk mengendalikan rancangan terbitan mereka.
 
"Boleh dikatakan hubungan Shiro dengan RTM setakat ini memang baik dan pihak stesen televisyen tersebut sentiasa memberi kami peluang dalam pelbagai rancangan mereka sejak kami muncul dalam industri," katanya dipetik mStar Online.
 
Ajak berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip di ruangan pojok akhbar mingguan yang mendakwa kumpulan tersebut bakal digam oleh RTM kerana menyampaikan lawak 'bodoh' di hadapan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan beberapa artis veteran di Konsert Jubli Emas TV Malaysia, baru-baru ini.
 
Shiro dikatakan terlalu mencuba untuk menarik perhatian menteri tersebut dengan memanggil beliau sebagai bapa mentua setiap kali muncul di pentas.
 
Tambah Ajak, persembahan yang dilakukan pada malam tersebut hanya selingan ketika waktu iklan ke udara dan tidak disiarkan di televisyen.
 
"Ya... kami ada menyentuh tentang bapa mentua kerana kami tahu anak beliau baru sahaja berkahwin, namun bagi saya ia tidaklah sampai keterlaluan dan berniat untuk mempersendakan beliau seperti dikhabarkan itu," ujarnya.
 
Bagaimanapun, mereka meminta maaf jika lawak tersebut ada mengguris hati mana-mana pihak yang menonton persembahan mereka pada malam tersebut.
 
Tambah Ajak, mereka akan lebih berhati-hati dalam membuat persembahan terutamanya program yang melibatkan orang kenamaan.

Tiada ulasan: