Isnin, 18 Februari 2013

Xenophon kata lawatan ke Malaysia adalah urusan rasmi

TERKINI


Senator Xenophon semasa di bawah tahanan di lapangan terbang Kuala Lumpur dalam gambar diambil pada 16 Februari 2013, yang diserahkan oleh pejabat senator. — Gambar Reuters

KUALA LUMPUR — Senator bebas Australia Nick Xenophon mengatakan lawatan beliau ke Malaysia untuk memantau sistem pilihan raya adalah urusan rasmi, menurut laporan media Australia.
 Xenophon, yang diusir dari Malaysia Sabtu lalu kerana dikatakan “ancaman keselamatan negara”, mengatakan senator dari Parti Nationals John Williams dan ahli parlimen dari Parti Liberal Mal Washer, yang turut bersamanya dalam delegasi bipartisan parlimen, menerima kelulusan dari Menteri Tugas-Tugas Khas Australia Gary Gray untuk lawatan tersebut.

“Ia bukan tidak rasmi,” kata Xenophon yang dilaporkan oleh radio ABC di Australia.

“Ia adalah perjumpaan di mana keputusannya akan dibawa ke parlimen persekutuan berkenaan lawatan itu nanti,” katanya lagi.

Delegasi Australia, termasuk ahli parlimen Parti Buruh Australia Steve Georganas, membatalkan lawatan tersebut.

Beberapa ahli politik Barisan Nasional (BN) mempersoalkan peranan Xenophon dalam memantau proses pilihan raya, dengan berkata senator bebas itu tidak mewakili Canberra.

Xenophon juga menyeru Canberra untuk menggandakan usaha memantau sistem pilihan raya Malaysia, dan tidak bersetuju dengan pendirian Menteri Luar Bobb Carr dalam Pilihan Raya 2013.

“(Senator Carr) berkata selagi negara tersebut ada pilihan raya, kita tidak akan menghantar pemantau. Tetapi jika proses pilihan raya masih lagi korup, kita perlu melihatnya dengan keadaan berbeza,” katanya lagi.

Pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berkata pengusiran Xenophon menunjukkan “paranoia” Putrajaya dalam pilihan raya akan datang. SPR bagaimanapun mempertahankan keputusan mengusir Xenophon, mengatakan pihak imigresen menjalankan tugas mereka.

Timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata Sabtu lalu adalah tidak adil mempertikaikan keadilan Pilihan Raya 2013 hanya kerana pengusiran Xenophon.

Beberapa ahli politik Australia mengkritik pengusiran Xenophon, bersama Carr dan bekas perdana menteri Kevin Rudd.

Ahli parlimen Parti Buruh Australia, Michael Danby, yang merupakan pengerusi jawatankuasa bersama parlimen mengenai hubungan luar negara, berkata tindakan Putrajaya hanyalah “berpura-pura untuk menjadi demokratik dalam masyarakat berasaskan undang-undang”, menurut akhbar nasional Australia, The Australian.

Bekas menteri luar Australia, Alexander Downer, juga berkata pihak berkuasa Malaysia melakukan “kesilapan besar” dalam menghalau Xenophon yang akan memberi persepsi negatif di Australia.

Radio Australia ABC Adelaide melaporkan senator Parti Buruh dari South Australia Penny Wong berkata Canberra dengan jelas mengatakan pengusiran Xenophon “tidak sepatutnya berlaku”.

“Saya fikir isu kedua ialah apa peranan kita terhadap politik dalaman Malaysia. Jarang sekali Australia untuk masuk campur dalam proses demokratik negara lain,” kata Wong.

Media Australia melaporkan Perdana Menteri Australia Julia Gillard semalam berkata kerajaannya akan terus menekan Malaysia untuk memberi penerangan selepas pihak berkuasa tidak membenarkan Xenophon terus di negara ini.

Carr dilaporkan berkata semalam beliau sudah bercakap dengan rakan sejawatnya untuk meluahkan perasaan terperanjat dan kekecewaan ke atas pengusiran Xenophon, dan berharap insiden tersebut tidak mengganggu hubungan dua negara.

Xenophon tiba di Kuala Lumpur Sabtu lalu dan akan bertemu dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi ditahan sebelum diusir pada malamnya.

Ketua pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad berkata Sabtu lalu Xenophon diusir dan dilarang dari memasuki Malaysia di bawah akta Imigresen 8(3) kerana senator tersebut membuat kenyataan yang mencemarkan imej Malaysia.

Alias menerangkan kenyataan Xenophon terhadap kerajaan Malaysia menjadi “authoritarian” dalam menangani perhimpunan Bersih 3.0 untuk pilihan raya bersih dan adil.

Dalam pemerhatian Xenophon beliau nampak polis melepaskan gas pemedih mata dan air kimia kepada peserta perhimpunan aman.

Tiada ulasan: