Ahad, 24 Februari 2013

Undi PAS wajib untuk bantu Islam




Oleh SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din bertegas mengingatkan umat Islam bahawa mengundi PAS dalam pilihan raya umum diharuskan malah ada masanya menjadi wajib untuk membantu Islam walaupun PAS bekerjasama dengan DAP.

Ini kerana kata beliau, jika alasan beberapa orang ulama di Kelantan haram mengundi PAS kerana bersengkokol dengan DAP bagaimana pula dengan Umno yang menentang hudud secara jelas.

Beliau menyelar sikap dan pendirian golongan ulama yang mengatakan wajib menyokong Umno sedangkan Umno itu sendiri menentang hudud dan lebih teruk daripada DAP menentang hudud.

Katanya, Umno menentang hudud sampai keperingkat Presiden Umno ketika itu (Dr Mahathir Mohamad) dalam tahun 1993 ketika kanun jenayah Kelantan hendak dilaksanakan.

Menurut beliau, Mahathir yang juga Perdana Menteri telah memberi surat amaran kepada Menteri Besar Kelantan (Tuan Guru Dato' Abdul Aziz Nik Mat) jika kerajaan Kelantan melaksanakan hudud, kerajaan Pusat akan mengambil tindakan keras.

Surat tersebut tambah beliau tidak ditarik sampai ke hari ini dan itu menunjukkan bahawa bukan sahaja pimpinan agung Umno yang menentang hudud malahan orang-orang Umno turut mempermainkan hukuman hudud.

"Dulu kita dengar siapa hendak makan sup tangan pergi ke Kelantan. Umno yang memegang kuasa selama 56 tahun, pernahkan mereka mengatakan hendak melaksanakan hudud," soalnya.

Tambah beliau, Umno tidak pernah mahu melaksanakan hudud sebaliknya menentang hukuman tersebut.

Tiada ulasan: