Isnin, 11 Februari 2013

Shila Amzah: Saya tidak hilang, cuma cari ketenangan

RAZIATUL HANUM A. RAJAK
Shila Amzah
Shila semasa menghadiri sidang media AIM ke-19 di Kuala Lumpur, kelmarin. - Foto Sinar Harian oleh Muhammad Azmi Aryanto
 
SELEPAS pulang ke pangkuan keluarga setelah hampir seminggu gagal dihubungi, penyanyi Patah Seribu, Shila Amzah terkilan dengan tindakan ayahnya, ND Lala membuat laporan polis mendakwa dia hilang.

Shila juga menegaskan, dia tidak melarikan diri, sebaliknya hanya mencari ketenangan.

Semalam, ND Lala membuat laporan polis setelah gagal menemui anak gadisnya itu. Tengah hari tadi polis Kajang mengesahkan Shila sudah ditemui dengan selamat oleh bapanya.

Shila menjelaskan serba sedikit tentang perkembangan dirinya dalam status laman mikro Twitter yang dikemas kini petang tadi.

"Awak tidak tahu apa yang telah saya lalui. Saya tidak melarikan diri. Saya cuma perlukan ketenangan fikiran, jauh dari orang-orang ini.

"Kenapa saya tak boleh? Beritahu saya," tulis Shila pada jam 4.32 petang tadi.

Shila juga menegaskan sekali lagi bahawa dirinya tidak hilang.

"Sekali lagi, Sha tak hilang," tulisnya lagi.

Melalui tweetnya juga, Shila difahamkan kini berada di Pulau Pinang bagi persembahannya pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN), esok.

"Saya suka berada di Pulau Pinang... terasa seperti di rumah," tulisnya jam 10.04 malam tadi.

Juara Asian Wave ini juga tidak bersetuju dengan tindakan ND Lala yang membuat laporan polis berhubung kehilangannya.

"Laporan polis itu memang tidak seharusnya berlaku. Sigh (mengeluh)," tulisnya dalam mesej terbaru sekitar jam 10.20 malam.

Berhubung kehilangannya, Shila dikatakan hanya menghantar satu pesanan kepada keluarganya yang mengatakan dirinya selamat.

Namun, penyanyi ini menafikannya melalui interaksi dengan peminat.

"Lebih baik jika awak menghubungi ibu bapa. Setiap ibu bapa akan melakukan perkara yang sama. Mereka cuma risaukan awak. Selamat, berada di rumah," tulis @dalyna88.

Shila membalas, "saya melakukannya setiap hari."

Tiada ulasan: