Shahbudin Husin
Hasrat Najib menghadirkan diri di majlis sambutan Tahun Baru Cina Persatuan Dong Ziong sekurang-kurangnya mampu membawa hasil yang positif dan menggembirakan nampaknya tidak kesampaian. Meskipun beliau dilayan dengan baik dan dihidang dengan makanan yang menyelerakan, kunjungan itu tidak membawa apa-apa keuntungan kepada politik BN. Beliau pasti menyimpan kecewa dalam diam.
Najib yang hadir sejam lebih awal daripada kehadiran Anwar di majlis itu dilaporkan hanya dilayan biasa-biasa saja berbanding Anwar yang disambut lebih meriah dengan teriakan reformasi dan poster yang bertulis “Saya Sayang PM Baru Anwar”. Poster itu diubahsuai daripada poster “Saya Sayang PM” yang banyak ditabur di pelbagai majlis yang dihadiri Najib sebelum ini.
Mesej dan
keberanian ramai pengunjung mengangkat poster yang telah diubahsuai itu
ketika menyambut kedatangan Anwar jelas membuktikan bahawa pengundi
Cina kekal dengan pendirian mereka selama ini iaitu menolak BN dan
mahukan perubahan dalam pilihanraya akan datang ini.
Najib
menjadi Perdana Menteri yang pertama menghadiri majlis sambutan Tahun
Baru Cina Dong Ziong sejak persatuan itu ditubuhkan. Sejak ditubuhkan
ia terkenal dengan sikap kritikalnya terhadap kerajaan dan tidak
bersetuju dengan beberapa dasar kerajaan dalam bidang pendidikan yang
melibatkan sekolah-sekolah Cina.
Selama
bertahun-tahun persatuan itu dicop mirip pembangkang. Tetapi Najib cuba
bersikap budiman dengan sudi hadir di majlis anjurannya sambil
mengharapkan ada bekalan positif yang dapat dibawanya balik daripada
majlis itu.
Harapan
Najib melalui kunjungan itu berjaya menghasilkan kenangan yang manis
dan menzahirkan reaksi positif daripada pengundi Cina tidak berhasil
sama-sekali. Malah dengan sambutan yang lebih meriah diberikan ketika
ketibaan Anwar bersama rombongannya jelas menggambarkan Anwar bersama
janji perubahannya lebih melekat dihati pengundi Cina berbanding Najib.
Apa yang
berlaku di majlis Dong Ziong itu sebenarnya mengesahkan lagi apa yang
berlaku di majlis sambutan Tahun Baru Cina BN di Pulau Pinang beberapa
hari sebelum itu di mana Najib dimalukan dengan jawapan “No” apabila
beliau bertanya “Are You Ready For BN?”, adalah sesuatu yang sahih dan
benar. Jika ada yang meragui teriakan “No” sebanyak tiga kali di Pulau
Pinang itu sebagai tidak benar-benar tulen dan mungkin ciptaan belaka,
keberanian menaikkan poster “Saya Sayang PM Baru Anwar” di Kajang itu
memang sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi kebenarannya.
Berbanding
peristiwa di Pulau Pinang di mana cybertrooper UMNO sibuk
mempertahankan Najib disebalik insiden teriakan “No” itu sehingga
sanggup mengubahsuai klip video yang sama dengan jawapan “Yes” pula dan
kemudian disebarkan dua hari kemudiannya tetapi dalam peristiwa di
Kajang ini, tidak ada di kalangan mereka yang menafikannya. Maknanya,
mereka mengakui memang berlaku penolakan terhadap Najib di kalangan
pengundi Cina di majlis itu.
Hakikat bahawa Anwar disambut lebih meriah berbanding Najib juga tidak dinafikan oleh sesiapa.
Hakikat bahawa Anwar disambut lebih meriah berbanding Najib juga tidak dinafikan oleh sesiapa.
Melihat
kepada apa yang berlaku itu dan bagaimana kesan penyebaran insiden itu
telah mempengaruhi ramai pengundi terutama mereka yang mempunyai akses
internet, Mahathir sampai berkata perlunya penapisan dilakukan terhadap
berita-berita yang disiarkan di alam maya kerana kononnya kebenarannya
diragui. Mahathir sebenarnya bukan bimbang berita yang tidak benar
tersebar melalui internet tetapi yang membimbangkannya ialah kerana
dengan adanya internet, kepalsuan tidak lagi mempunyai tempatnya.
Selama ini
media tradisional seperti akhbar dan tv dilihat begitu memonopoli
kerja memesongkan pemikiran rakyat melalui propaganda tidak benar dan
separuh benar untuk diterima oleh rakyat. Oleh kerana rakyat tiada
sumber maklumat lain, maka semua yang disajikan melalui media
tradisional itu selama bertahun-tahun dianggap sebagai wahyu kebenaran
walaupun sebenarnya ia mungkin berupa teriakan syaitan.
Itulah
yang berlaku selama ini. Dengan adanya internet, kepalsuan tidak lagi
mampu bertahan lama. Kadang-kadang sebelum kepalsuan didendangkan,
kebenaran sudah pun muncul terlebih dahulu.
Melalui
apa yang berlaku kepada Najib di dua majlis sambutan Tahun Baru Cina
itu, tidak syak lagi bahawa pengundi Cina kekal tidak mahu bersama
Najib dan BN biar bagaimana pun propaganda lain turut dihebohkan. Bukti
nyata yang diperolehi melalui dunia internet bukan saja mampu
menyerlahkan kebenaran, malah menjadikan kebenaran itu juga mudah
disebarluaskan.
Dengan
sikap konsisten pengundi Cina yang ditunjukkan itu, nasib dan masa
depan MCA serta Gerakan, rakan kongsi UMNO dalam BN sudah boleh dinilai
gelap atau kelabunya. Dalam masa yang sama, nasib Najib, UMNO dan BN
juga sudah boleh dibaca penyudahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan