Oleh Arif Juhani
KUALA LUMPUR : Sekatan terhadap beberapa Ahli Parlimen Pakatan
Rakyat pada seminar politik Universiti Malaya (UM) hari ini, simbol
betapa lemahnya akademik Perdana Menteri, kata Pengarah Komunikasi
KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pembatalan
itu didedahkan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya
Universiti Malaysia (Umcedel), Prof Dr Mohammad Redzuan Othman pada
Seminar Politik Menjelang Pilihan Raya Umum 13 di Dewan Kuliah B,
Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM, pagi tadi.
Menurutnya, arahan itu dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Forum anjuran Umcedel itu pada mulanya membariskan ahli panel Pakatan
terdiri Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Naib Presiden
PAS, Datuk Husam Musa.
BN pula Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.
Tempat mereka yang dijadual membentangkan forum pada 2.30 petang tadi dibatalkan dan diganti oleh ahli akademik lain.
Nurul Izzah tetap hadir sebagai penonton, sekalipun menerima sekatan Umno BN.
Nik Nazmi berkata, pembatalan itu bertentangan suasana sekarang
ketika masyarakat dan mahasiswa terbuka dan cenderung kepada pelbagai
wacana ilmiah termasuk isu politik.
“Isu politik Malaysia sekarang sudah berubah menjadi tajuk wacana
ilmiah melalui pendedahan kajian dan laporan oleh pelbagai institusi
pengajian tinggi dan badan pemikir, selain pendapat ahli politik dan
ahli akademi yang dikemukakan.
“Di luar, pelbagai badan politik, NGO dan media mengadakan wacana
ilmiah. Malangnya kampus terus hilang peranannya ekoran pelbagai sekatan
Umno BN.
“Pembatalan forum itu bukan sahaja bertentangan dengan kecenderungan
masyarakat untuk berdiskusi tetapi bercanggah dengan agenda transformasi
Perdana Menteri,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia itu kepada
Keadilan Daily.
Menyifatkan
tindakan itu mundur, Nik Nazmi mempertikai pembatalan forum kerana
bukan sahaja wakil rakyat Pakatan dijemput tetapi turut diwakili Umno
BN.
“Sekali lagi menunjukkan kelesuan tahap kebebasan akademi dan retorik kosong Umno BN kononnya mahu memulihkan imej IPT tempatan.
“Sepatutnya kerajaan menyokong dan menggalakkan forum ilmiah seperti
ini kerana boleh mencambah idea baru dan membantu mahasiswa dan
masyarakat berfikir dan bertindak secara ilmiah,” katanya.
Justeru, beliau menggesa Datuk Seri Najib Razak segera menyatakan pendirian tegas mengenai insiden memalukan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan