Selasa, 19 Februari 2013

Maut sebab lif tentera tidak diservis


 

KL TODAY
“Tragedi ini dapat dielakkan jika lif itu diselenggara secara berkala dengan baik. Saya kesal kerana isteri saya menjadi mangsa akibat sikap sambil lewa ini,” kata Rafie Johar, 37, yang kematian isteri akibat lif dinaiki di Pangsapuri Blok A25, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, terhempas dipercayai kerana kabelnya putus.

Dalam kejadian jam 5 petang Jumaat lalu, mangsa, Zamelia Isharuddin, 38, menaiki lif itu dari tingkat lima bangunan didiami untuk turun ke tingkat bawah bagi mengambil wang hasil perniagaan nasi lemak yang dijalankan secara sambilan.

Rafie berkata, lif di pangsapuri itu sudah lama bermasalah dan hanya satu daripada dua mesin pengangkat itu boleh digunakan. “Kemungkinan kabel lif yang boleh digunakan itu sudah ‘haus’ kerana tidak diselia atau diperiksa pengurusan kediaman ini,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui nahas ngeri membabitkan isterinya itu selepas dimaklumkan beberapa jiran yang tinggal berhampiran pangsapuri 10 tingkat itu.

Menurutnya, beberapa jiran yang terkejut selepas mendengar dentuman kuat itu segera menghubungi bomba dan penyelamat sebelum isterinya berjaya dikeluarkan dari dalam lif berkenaan.

“Ketika itu, isteri tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Keadaan Zamelia amat kritikal berikutan tengkuk dan kepalanya turut dihentak kabel besi lif yang putus itu.

“Doktor bertungkus-lumus menyelamatkannya sebelum isteri menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.15 tengah hari Sabtu lalu,” katanya.

Rafie berkata, dia tidak dapat menahan rasa sedih berikutan kehilangan isteri dalam tragedi yang amat mengerikan itu.


Difahamkan, jenazah mangsa dibawa pulang untuk dikebumikan di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar.

Seorang jiran di pangsapuri itu yang enggan namanya disiarkan berkata, dia terdengar jeritan wanita itu sebelum dentuman kuat berlaku di tingkat paling bawah pangsapuri itu.

Menurutnya, dia yakin bunyi itu berpunca daripada lif berkenaan sebelum menghubungi bomba dan penyelamat, selain polis daerah Manjung, bagi mendapatkan bantuan.

“Saya percaya tragedi ini berlaku akibat kabel lif itu yang uzur berikutan sebelum ini ada kesan kebocoran air hujan yang menyebabkan berlaku kesan karat.

“Rata-rata penduduk sebelum ini sering ketakutan ketika menggunakan lif ini berikutan ia bergegar selain mengeluarkan bunyi pelik. Bagaimanapun, kebanyakkan penghuni tiada pilihan dan terpaksa menggadai nyawa menggunakan lif itu.

“Apa yang berlaku kepada Zamelia seharusnya menjadi iktibar kepada pihak berkaitan supaya segera membaik pulih semua lif di kawasan kediaman kami ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komissioner Jaafar Baba ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya sudah menerima laporan kejadian berkenaan dan ketika ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, Jaafar berkata, pihaknya belum menerima laporan daripada keluarga mangsa berhubung insiden kecuaian itu.

“Kini, terpulang kepada ahli keluarga mangsa untuk membawa kes berkenaan kepada pengetahuan pihak pengurusan TLDM,” katanya.

Insiden Memilukan

IPOH: “Ia insiden yang menyedihkan dan memulikan. Saya mewakili seluruh warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, malah bersimpati dengan kejadian itu,” kata Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Beliau mengulas mengenai insiden menyayat hati menimpa Zamelia, yang maut apabila lif yang dinaiki terhempas dari tingkat lima pangsapuri berkenaan, jam 5 petang Jumaat lalu.

Berikutan insiden itu, Abdul Aziz berkata, beliau turut mengarahkan satu pemeriksaan segara dilakukan di seluruh bangunan pangsapuri serta kediaman anggota TLDM di seluruh Malaysia bagi mengelak kejadian sama berulang.

Malah, katanya, pihaknya sudah menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat insiden itu termasuk menjalinkan kerjasama dengan beberapa pasukan bomba dan penyelamat.

“Kami akan mendapatkan bantuan serta khidmat nasihat daripada bomba dan penyelamat bagi menyiasat punca sebenar insiden itu.

“Berdasarkan siasatan awal, lif yang digunakan di pangsapuri berkenaan sentiasa diselenggara dengan baik, malah ia kali terakhir diperiksa dan diselenggara pada Ogos tahun lalu,” katanya.

Tiada ulasan: