Oleh Aisha Geoffrey
BANTING : Kesedaran masyarakat India yang semakin meningkat
terhadap kelemahan pentadbiran Umno begitu membanggakan, sekaligus
menafikan dakwaan kononnya sokongan kaum itu terhadap Pakatan Rakyat
menurun, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum KEADILAN berucap pada sambutan Pesta Ponggal di Dewan Sri
Jugra, Banting malam tadi dipenuhi ribuan masyarakat India yang
berpusu-pusu mahu melihat pemimpin berjiwa rakyat itu.
“Terima
banyak, begitu ramai yang hadir, menunjukkan kesedaran masyarakat India
yang semakin tinggi. Ada orang kata sokongan orang India sudah
berkurangan, tapi saya tak percaya sebab saya turun dan lihat sendiri,”
kata Anwar.
Beliau turut disambut kalungan bunga serta turban dan selendang sebagai tanda menghormati bakal Perdana Menteri itu.
“Ini mesti ada yang cakap saya ikut budaya India pula. Saya tak
takut, cakaplah saya apa pun, yang penting saya tahu saya pakai ini
sebagai tanda menghormati budaya masyarakat India,” kata Anwar disambut
sorakan penyokong.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan kaum India agar menuntut hak
mereka yang dinafikan kerajaan sejak merdeka tetapi dengan syarat
tuntutan itu tidak bersifat perkauman.
“Saya
selalu turun dan dengar tuntutan orang India. Tapi saya nak ingatkan,
kita boleh tuntut, asalkan jangan buat tuntutan macam Perkasa. Bila saya
kata pendidikan percuma, maksudnya ia terpakai untuk semua rakyat
Malaysia,” katanya.
“Begitu juga bila saya kata hormat agama Islam sebagai agama rasmi
persekutuan, saya kata hormat hak orang lain untuk beragama. Kalau kita
main sentimen perkauman samalah kita macam Perkasa,” katanya lagi.
“Sebab itu saya cakap, kami Pakatan Rakyat bersedia untuk mentadbir
dengan adil kepada semua rakyat, tak kira dari segi hak, ekonomi,
kebudayaan dan pendidikan,” kata Anwar disambut tepukan gemuruh
hadirin.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan