Oleh Sidiqin Omar
PETALING JAYA : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli
sehingga hari ini masih menunggu surat saman Menteri Pertahanan, Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pendedahannya mengenai penyelewengan
wang pesara tentera dalam Boustead Holdings Berhad.
“Saya sampai hari ini masih menunggu saman beliau yang belum dihantar
kepada saya agar perkara ini boleh didedahkan juga di mahkamah. Saya
hanya terima surat tuntutan (demand), bukan surat saman,” kata Rafizi.
Zahid dilaporkan memfailkan writ saman menerusi Tetuan Majid Krishna
Menon & Lee di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 25 Januari
lalu.
“Selepas saya mendapat maklumat (dokumen perjanjian Boustead), saya
lebih dari bersedia untuk ke mahkamah. Saya ingin menegaskan Datuk Seri
Zahid gagal dalam menjaga kebajikan angkatan tentera,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berpandangan ada ‘orang lain’ yang mendapat
keuntungan dari semua urusniaga, transaksi dan pindah milik tanah antara
Boustead Holdings dengan Awan Megah dan Asta Canggih Sdn Bhd.
“Saya rasa Raja Ropiah (Abdullah) adalah proksi kepada pihak
tertentu. Raja Ropiah tak penting untuk segala terma perjanjian yang
berjumlah ratusan juta ringgit.
“Kontrak dianugerah selepas Awan Megah gagal melaksanakan projek
Puspahanas (Pusat Latihan Pertahanan Nasional), selepas anugerah
(kontrak) Kementerian Pertahanan menjadi kontroversi,” kata Rafizi.
Rafizi sebelum ini membeli 100 unit saham Boustead dengan harga
RM4.86 setiap satu, sebagai tindakan membolehkannya menjadi pemegang
kepentingan Boustead dan akses kepada dokumen unit pelaburan Lembaga
Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan