Selasa, 12 Februari 2013

Psy terima sambutan di rumah terbuka Tahun Baru Cina BN Pulau Pinang



Psy di Pulau Pinang: Anda adalah lebih panas daripada cuaca 
yang lebih panas daripada yang pernah! Satu Malaysia! — pesanan 
ringkas dari laman Twitter #Penang pic.twitter.com/QG7kS1mt

GEORGE TOWN — Penyanyi hangat Korea Selatan, Psy, ternyata mengujakan peminatnya dengan kehadiran ribuan penonton membanjiri sambutan Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang di padang sekolah Han Chiang hari ini.
 Pengunjung bagai dirasuk apabila penyanyi K-pop itu muncul pada 12.15 tengah hari.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan pemimpin BN turut hadir dalam sambutan rumah terbuka tersebut.

Penonton turut menyanyikan lagu hit Psy, “Oppa Gangnam Style”, yang turut menyaksikan kumpulan tarian daripada Korea Selatan.


Selamat Tahun Baharu Cina a la Gangnam. — Gambar K.E. Ooi 

“Saya ucapkan selamat Tahun Baru Cina kepada Asia dan Malaysia,” katanya ketika muncul di atas pentas.
 Psy turut mengumumkan single terbarunya yang akan menjengah pasaran April depan dan berjanji akan mengadakan persembahan di Malaysia pada masa akan datang.

Turut hadir dalam sambutan itu adalah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, menteri di jabatan perdana menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, dan Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow.

Pengunjung telah membanjiri lokasi sambutan tersebut seawal jam 8.30 pagi.

Sejurus selepas Psy, atau nama sebenarnya Park Jae-Sang, selesai menyanyikan lagunya, penonton bersorak menuntutnya menyanyikan lagu tersebut buat kali kedua, dan beliau kemudiannya menyanyikan lagu tersebut sambil mengajak pentonton turut sama menyanyi dan menari.

Beliau turut menanggalkan jaket putih dan hanya berbaju lengan pendek serta menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya.

Sejurus beliau meninggalkan pentas, penonton terus beratur untuk meninggalkan majlis sehingga menyebabkan kesesakan di pintu keluar sekolah tersebut.

Sejam sebelum Psy muncul, juara Asian Wave 2012, winner Shila Amzah tampil menghiburkan penonton dengan empat buah lagu, dua lagu berbahasa Cina, Conquer (oleh Na Yin) dan Forever Love (oleh Lee Hom), satu lagu Inggeris, Set Fire To the Rain (oleh Adele) dan lagu Melayu, Patah Seribu.

Sebelum itu, beberapa persembahan kebudayaan dan tarian turut dihidangkan kepada penonton dalam sambutan tersebut.

Najib kemudiannya mengetuai pemimpin di pentas utama menyanyikan lagu Selamat Tahun Baru China beberapa minit sebelum Psy membuat persembahan.

Pihak polis menganggarkan sekitar 100,000 pengunjung hadir di majlis tersebut.

Tiada ulasan: