Editor BULETIN
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat tindakan kerajaan Malaysia menahan dan menghantar pulang senator bebas Australia Nick Xenophon, boleh dipandang pada dua perspektif.Menurut Ketua Penerangannya Ustaz Riduan Mohd Nor, ia wajar kerana menghalang campur tangan orag asing dan sebaliknya tindakan itu tidak wajar kerana bersikap keras tterhadap pemimpin asing, seolah-olah seorang pengganas.
“Pertama, langkah Malaysia dianggap berpatutan kerana menghalang warga asing dari mencampuri urusan negara ini. Kerajaan dalam apa juga harus bertegas tidak membenarkan urusan pentadbiran negara diganggu oleh elemen asing. Tidak ada pihak luar yang layak mencampuri urusan dalaman negara ini selagi rakyat mampu selesaikannya secara diplomasi.
“Namun demikian, tindakan kerajaan Malaysia boleh dianggap tidak wajar kerana bersikap keras terhadap pemimpin Australia itu. Beliau bukannya seorang pengganas, penjenayah mahupun penceroboh yang sewenang-wenangnya masuk ke negara ini. Nick Xenophon bukannya pengganas bersenjata yang masuk secara haram ke perairan Sabah di Lahad Datu. Beliau masuk secara sah dan mempunyai kedudukan sebagai pemimpin (Senator) di Australia,”ujarya melalui satu kenyataan media hari ini, Rabu 20 Februari.
Beiau berkata, sebaiknya kerajaan melayani beliau dengan baik dan berhemah kerana selagi tiada bukti kesalahan, beliau sepatutnya dibenarkan bebas masuk ke negara in dan menjadi pemerhati pilihanraya.
Katanya, dalam hal tersebut, ia memberikan imej yang kurang baik masyarakat dunia terhadap Malaysia dengan anggapan negara kita bersikap tidak terbuka, tiada toleransi, serta tidak demokratik.
Malah beliau menambah, masyarakat dunia juga memandang serong bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam ruang demokrasi khususnya sistem pilihanraya di negara ini.
“Apa salahnya kerajaan menerima teguran dan kritikan Senator ini dengan hati terbuka. Tiada salahnya juga kerajaan membenarkan beliau hadir dan berbincang dengan mana-mana pihak, tanda kerajaan Malaysia mengamalkan demokrasi yang matang dan terbuka.
“Jika ada kebenarannya kerajaan perbetulkan, sebaliknya jika tidak kerajaan tidak perlu melayannya,”jelasnya.
Memburukkan keadaan, kata Ustaz Riduan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyalahkan Nick Xenophon sebagai tidak layak menjadi pemerhati pilihanraya kerana beliau seorang yang berat sebelah, tidak profesional dan hanya memihak kepada sebuah parti sahaja.
Sedang persoalan sekarang, katanya, rakyat bertanya, apakah Tan Sri Abdul Aziz tidak memandang kepada institusi yang dipimpinnya sekarang, iaitu SPR?
“Pernahkah beliau bertanya, jujur dan adilkah SPR dalam mengendalikan sistem pilihanraya di negara ini? Jika siri Himpunan Bersih 1,2,3 dan 4 telah diadakan dengan kehadiran ratusan ribu rakyat, ia menandakan rakyat bersetuju bahawa ada masalah dalam sistem pilihanraya di negara ini. Tuntutan Bersih 2.0, adakah ia terlaksana keseluruhannya?,”soal Riduan
Beliau menegaskan, SPR juga perlu melihat kepada semua parti politik yang bertanding dan meletakkan neraca keadilan terhadap layanan kepada semua parti politik.
“Apakah kerajaan BN melayan secara adil parti politik dari Pakatan Rakyat? Bagaimana dengan akses media, penggunaan jentera kerajaan ketika waktu berkempen, rasuah dan habuan projek segera ketika musim pilihanraya, memindahkan pengundi, mendaftarkan pengundi warga asing dan lain-lain seperti yang didakwa oleh ramai pihak,
“Paling penting, kenapa Perdana Menteri masih merahsiakan tarikh pilihanraya dari pengetahuan umum sedangkan rakyat secara langsung terlibat dengan pilihanraya?,”ujanya lagi.
Justeru, beliau menyimpulkan, kehadiran Nick Xenophon adalah suatu tamparan hebat kepada kerajaan Malaysia dan SPR sebagai pengendali sistem pilihanraya di negara ini.
Katanya, adalah sesuatu yang memalukan negara apabila kerajaan terus menafikan kelemahan dan kepincangan dalam sistem pilihanraya di negara sedangkan seluruh dunia sudah mengetahuinya dan berbicara mengenainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan