Khairil Abdul Rahim, |
JERANTUT: Tindakan Pengurus Felda Kota Gelanggi 2 yang meluru ke pentas dan meminta Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberhenti ceramahnya serta merta malam semalam, dianggap biadab.
Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak) Pahang, Yohanis Ahmad, yang mempengerusikan ceramah dalam premis PAS itu berkata, tindakan pengurus tersebut juga boleh dianggap mencabar kuasa polis yang ada dalam program tersebut.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Jerantut turut kesal kerana tindakan tersebut sangat bahaya, boleh dianggap menceroboh dan bersifat provokatif jika tidak ditangani dengan bijak.
“Saya pada mulanya agak terperanjat apabila pengurus berkenaan tiba-tiba menerpa ke hadapan setelah kira-kira 15 minit Ustaz (Datuk) Tuan (Ibrahim) berucap dan mahu merampas pembesar suara sambil meminta dihentikan ceramah serta-merta.
“Dalam keadaan panik dan sangat pantas itu, saya terdengar Ustaz Tuan meminta saya memujuk pengurus itu masuk ke dalam markas untuk berbincang. Suasana ketika itu bingit dengan pekik sorak terutama orang muda yang marah dengan insiden itu,” katanya.
Yohanis berkata, tujuan dibawa pengurus itu berbincang di dalam markas adalah bagi mengelakkan berlaku kekecohan kerana ada lebih 200 yang hadir ketika itu.
Katanya, suasana pada mulanya terkawal apabila majlis berjalan dengan ucapan pertama daripada Yang Dipertua PAS Jerantut Dr Hamzah Jaafar sehinggalah Tuan Ibrahim berceramah kira-kira 15 minit.
“Semasa berbincang, pengurus tersebut beliau meminta maaf kerana mendapat arahan daripada 'orang atas' dan pada masa yang sama saya menghubungi peguam. Tetapi dia tidak mahu bercakap dengan peguam kami.
“Tapi cara beliau bertindak begitu memang biadab dan boleh menjadi contoh yang buruk sebagai seorang pengurus tanah rancangan tetapi mujurlah tidak berlaku kekecohan,” katanya.
Tambahnya, sebagai pengurus sepatutnya banyak lagi kerja-kerja pengurusan yang wajar dilaksanakan bukannya menjadi alat menghalang ceramah parti politik yang sah berdaftar.
Yohanis berkata, tindakan pengurus tersebut juga salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Baru-baru ini Anak telah membuat permohonan satu deklarasi yang menyatakan arahan dari Felda, Pengurus Wilayah dan Pengurus Felda yang menyekat aktiviti di mana-mana rancangan Felda adalah tidak sah dan terbatal kerana melanggar Fasal 9(2) Perlembagaan Persekutuan,
Permohonan tersebut difailkan melalui peguam Harris Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan